Home / Bola Sepak / Kejayaaan kejutkan Singa Parsi menjadi motivasi buat Harimau Malaya bertemu Thailand

Kejayaaan kejutkan Singa Parsi menjadi motivasi buat Harimau Malaya bertemu Thailand

Harimau Malaya melakar keputusan terbesar sejak sekian lama apabila mengejutkan pasukan yang menghuni ranking dunia FIFA lebih tinggi Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Jaringan tunggal pemain gantian Mohd Sapawi Rasid memastikan skuad negara ceria memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0 sekaligus hadir tepat pada waktunya selepas kemarau gol bersama skuad kebangsaan selama tujuh perlawanan sejak Jun lalu.

Lima pertukaran pemain yang dilakukan Tan Cheng Hoe dalam kesebelasan utama bagi menguji kombinasi baru dan ianya nampak meyakinkan selepas bekerja keras mengimbangi saingan lawan.

Cuma skuad negara melepaskan dua kesempatan terbaik di separuh masa pertama untuk menembusi gawang lawan yang begitu berdisiplin bertahan menyaksikan peluang itu dihampakan dengan kegagalan pemain menyudahkan gerakan yang dicipta dalam kotak penalti Tajikistan.

Kemampuan benteng negara mempertahankan gawang daripada dibolosi juga melegakan selepas lawan tampak membahaya menerusi gerakan-gerakan serangan balas.

Selepas penjaga gol Tajikistan Rustam Yatimov dilayangkan kad merah dan memaksa pasukannya beraksi dengan sepuluh pemain, barulah pemain negara mempamerkan penguasaan sepenuh bola dan meningkatkan tekanan.

Kemasukan pemain-pemain seperti Brendan Gan, Adam Nur Azlin, Mohd Sapawi Rasid dan Mohd Syazwan Andik juga menambah sengat yang diperlukan Harimau Malaya.

Selepas cubaan demi cubaan dilakukan dan masa semakin suntuk barulah penyudah yang dicari-cari menjelma buat pasukan negara menerusi Sapawi Rasid yang bijak memperdaya pertahanan sebelum melepaskan rembatan padu menghasilkan gol yang ditunggu tunggu lebih 14,000 penyokong pada minit ke-72.

Berkelebihan satu gol menyaksikan ujian pasukan kebangsaan bermula dari detik itu apabila pelawat terdesak mengubah keadaan.

Pemain negara sedikit longgar di penghujung permainan namun bernasib baik tidak dihukum dengan kebangkitan yang digerakkan sebelum perlawanan tamat dengan kemenangan 1-0 berpihak Malaysia mengalahkan skuad ranking FIFA ke-116 itu.

Kemenangan menewaskan Tajikistan meletakkan pasukan kebangsaan dalam keadaan terbaik dalam membuat perhitungan menentang Thailand dan Indonesia dalam kempen saingan kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 bermula Khamis.