Home / Bola Sepak / Harimau Malaya jinakkan Singa Emas

Harimau Malaya jinakkan Singa Emas

Malaysia menepati ramalan ketika menentang Sri Lanka pada aksi persahabatan dengan mencatatkan kemenangan besar 6-0 keatas lawan.

Keputusan yang diraih itu sedikit sebanyak memberi motivasi kepada skuad Harimau Malaya yang akan berdepan Vietnam di Hanoi 10 Oktober ini dalam perlawanan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Pertemuan Malaysia dan Sri Lanka dalam aksi persahabatan semalam merupakan perlawanan pemanas badan kedua-dua pasukan sebelum pusingan dua kelayakan dijadualkan minggu depan.

Bermula baik di Stadium Bukit Jalil Mohd Syafiq Ahmad meledak jaringan seawal minit ke-9 selepas tolakan dari jarak dekat gagal dihalang penjaga gol Sri Lanka.

Asakan skuad negara minit ke-14 seakan mengulangi gol pembukaan tetapi kali ini menerusi Shahrul Mohd Saad yang menggegar gawang lawan menjadikan kedudukan semasa 2-0.

Kelonggaran barisan pertahanan pelawat terus dihukum Malaysia yang nyata tidak melepaskan peluang untuk menyumbat jaringan ketiga dihasilkan menerusi Nurshahrul Idlan Talaha tiga minit berselang.

Bersambung babak kedua Malaysia tampil lebih bersemangat ingin menambah jaringan dan Mohd Akhyar Abd Rashid memastikan Harimau Malaya selesa didepan dengan gol keempat minit ke-51.

Sri Lanka cuba mempertahankan gawang daripada terus dirobek pemain negara namun usaha mereka sia sia selepas pasukan kebangsaan menghasilkan dua lagi jaringan untuk merakam kemenangan besar 6-0.

Shafiq sekali lagi membuktikan statusnya selaku penyerang berbisa kebangsaan dengan jaringan minit ke-76 sebelum tampil melengkapkan hatrik minit ke-88 bagi menambah sengsara Singa Emas.