Home / Bola Sepak / Harimau Malaya bakal diuji Singa Parsi di Bukit Jalil

Harimau Malaya bakal diuji Singa Parsi di Bukit Jalil

Harimau Malaya menjanjikan saingan sengit mencabar Tajikistan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa malam esok.

Lawan hadir dengan reputasi ranking lebih baik 116 FIFA ketika ini tetapi itu belum cukup menggentarkan pasukan negara yang berazam tampil dengan keyakinan tinggi untuk mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Dalam sidang media perlawanan pra persahabatan antarabangsa pagi tadi jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya mengetepikan tekanan mahupun terlalu memikirkan reputasi lawan.

Kekuatan Tajikistan juga telah diintai sebaiknya justeru barisan Harimau Malaya diharap tidak gentar dengan menyaingi lawan di atas padang.

Tajikistan yang berada di ranking yang lebih baik mengatasi Malaysia yang menduduki ranking 158 dunia tetapi itu tidak menjadi ukuran sebenar kekuatan kedua-dua pasukan.

Baik Malaysia mahu pun Tajikistan kedua-duanya mempunyai satu persamaan dalam aksi kali ini apabila menyenaraikan beberapa pemain baru ke dalam pasukan sekaligus perlawanan malam esok merupakan kesempatan terbaik untuk mencuba gandingan baharu memandangkan dua lagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menyusul pada 14 dan 19 November ini.

Apa yang pasti Tajikistan tidak terlalu meletakkan matlamat yang tinggi menentang Malaysia di Bukit Jalil malam esok. Misi utama adalah untuk menguji sejauh mana persediaan mereka menentang pasukan Asia Tenggara dan begitu juga dengan cuacanya kerana dijadual menentang Myanmar.