Home / Lain - Lain / HARAPAN MALAYSIA UNTUK MENUNAI EMAS DI SUKAN PARA ASEAN 2020 TERJEJAS

HARAPAN MALAYSIA UNTUK MENUNAI EMAS DI SUKAN PARA ASEAN 2020 TERJEJAS

Penangguhan Sukan Para ASEAN Filipina 2020 dari Januari ke Mac depan nampaknya terus memberi kesan negatif kepada kontinjen negara berikutan jumlah penyertaan yang berkurangan.

Ini berikutan beberapa atlet tidak dapat memberi komitmen berikutan terlibat dengan beberapa kejohanan utama yang menyumbang mata bagi layak ke Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo nanti.

Menurut Chef De Mission Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang juga presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) atlet yang tidak dapat mewakili Malaysia ke Sukan Para ASEAN Mac nanti adalah dari sukan olahraga, memanah dan badminton.

Ketika Sukan Para ASEAN berlangsung dari 20 hingga 28 Mac depan atlet dari tiga jenis sukan itu perlu mengharungi beberapa kejohanan antarabangsa yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Perkhabaran itu jelas menyaksikan kontinjen Malaysia ke Sukan Para ASEAN nanti tidak dapat menggunakan khidmat bintang paralimpik negara seperti Ziyad Zolkefli, Ridzuan Puzi dan Abdul Latiff Romly.

Ini sekaligus menjejaskan harapan Malaysia untuk menuai lebih banyak pingat emas berbanding Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur 2017.

Pada Disember lalu Malaysia bercadang untuk menghantar 369 atlet paralimpik negara ke Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

Seandainya benar jumlah atlet negara berkurangan sasaran pingat emas juga akan berubah dan ia pasti tidak mampu mengulangi pencapaian tiga tahun lalu dengan Malaysia menamatkan kejohanan selaku naib juara dengan 90 pingat emas,80 perak dan 83 gangsa.