Home / Lain - Lain / Haiqal tagih simpati KOAM

Haiqal tagih simpati KOAM

Selepas berjaya meraih pingat emas dalama acara 100m, pelari Johor Muhammad Haiqal Hanafi sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjuarai acara 200m pada hari kedua Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM).

Yang menariknya kejayaan berganda yang diraih Muhammad Haiqa itu bakal mencerahkan peluangnya mewakili Malaysia dalam acara 4 x 100m di temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Tumpuan hari kedua Kejohanan Olahraga KOAM di Majlis Sukan Negara (MSN) lebih terarah dalam acara 200m selepas Muhammad Haiqal berjaya mengatasi pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan dalam acara 100m sebelum ini.

Nyata prestasi Muhammad Haiqal berada di tahap terbaik apabila terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa terpantas 21.20s sekaligus memadam rekod lamanya 21.26s yang dilakukan pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tahun lalu.

Pingat perak menjadi milik Mohd Akil dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan catatan 21.49s sambil G.Araventevar dari ATM meraih gangsa selepas mencatat 21.56s.

Menyedari catatan masa 100m dan 200m yang dimenanginya itu belum cukup melayakkan dirinya ke Sukan SEA Filipina dalam kategori A, pelari pecut berusia 20 tahun itu berharap KOAM dapat mempertimbangkan dirinya dalam barisan kuartet 4 x 100m ke Filipina nanti.

“Alhamdulillah saya tidak menjangkakan akan memenangi 100m dan 200m dan sasaran saya untuk melakukan yang terbaik”, ujar Haiqal.

Semua senarai akhir atlet dalam kategori A dan B akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan KOAM pada hari Ahad.