Home / Lain - Lain / Gomez juarai Ironman Langkawi 2019

Gomez juarai Ironman Langkawi 2019

Juara dunia acara trialtlon Javier Gomez menepati ramalan untuk muncul juara Ironman Malaysia 2109 di Pulau Langkawi.

Lebih menarik Gomez juga berjaya memecah rekod kejohanan pada penampilan pertamanya di Malaysia selepas mencatat masa terpantas 8:18:58 .

Kejayaan Gomez di Ironman Malaysia kali ini bagai sudah diduga berikutan atlet kelahiran Sepanyol itu hadir selaku juara dunia dan pemenang pingat perak di Sukan Olimpik London 2012.

Gomez tidak berhadapan masalah sejak awal perlumbaan apabila unggul dalam disiplin renang namun ketika memasuki disiplin berbasikal yang meliputi jarak 180km Gomez dipintas atlet Switzerland Phillip Koutny sehingga di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (IAMC).

Ramai yang menjangkakan Coutney akan meneruskan rentak cemerlang pada disiplin terakhir tetapi Gomez yang mahir dalam acara jarak jauh berjaya memimpin semula perlumbaan sebelum akhirnya muncul atlet pertama melintasi garisan penamat di Maritus Pelangi Beach Resort and Spa.

Koutny terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 8:24:18 sambil Tiago Vinhal dari Brazil ketiga dengan catatan 8:31:15.

Pingat kemenangan disampaikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu dalam saingan wanita, atlet Belanda Tessa Kortekaas muncul juara selepas mencatat masa terpantas 09:43:20 . Tempat kedua menjadi milik atlet Jepun Naomi Washizu dan tempat ketiga dimenangi atlet Republic Czech Simona Krivankova.

Kejohanan kali ini turut berlangsung serentak dengan Ironman 70.3km dan ia berjaya menarik penyertaan seramai 2500 dari dalam dan luar negara.

Ironman ini juga merupakan medan untuk mencari slot kelayakan ke kejuraan dunia 2020 di Hawaii dan New Zealand.