Home / Hoki / GERAN PENTADBIRAN DISALURKAN KEPADA PERSATUAN HOKI NEGERI DAN AHLI GABUNGAN

GERAN PENTADBIRAN DISALURKAN KEPADA PERSATUAN HOKI NEGERI DAN AHLI GABUNGAN

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menyalurkan Geran Pentadbiran (Admin Grant) berjumlah RM 10 ribu kepada setiap Persatuan Hoki Negeri dan Ahli Gabungan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Umum mengetahui, semenjak penularan Wabak Pandemik Covid-19 melanda dunia, banyak sektor-sektor yang terkesan terutamanya dari segi kewangan dan selepas tamat Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM Kali Ketujuh pada Selasa lalu, keputusan untuk menyalurkan Geran Pentadbiran bagi tahun 2020 telah dipersetujui oleh semua Ahli Lembaga Eksekutif.

Jelas Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal, inisiatif yang diambil oleh KHM ini juga adalah sebagai salah satu cara bagi membantu meringankan urusan pentadbiran Persatuan Hoki Negeri dan juga Ahli Gabungan ketika dunia berdepan dengan penularan Wabak Pandemik Covid-19 yang membimbangkan ketika ini.

“Dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif pada Selasa lalu, kami telah bersetuju untuk memberikan Geran Pentadbiran berjumlah RM 10 ribu kepada semua 14 Persatuan Hoki Negeri dan juga dua Ahli Gabungan KHM iaitu PDRM dan ATM.

“Walaupun agak mustahil untuk setiap Persatuan Hoki Negeri dan Ahli Gabungan KHM untuk menganjurkan sebarang kejohanan liga pada tahun ini ekoran penularan Wabak Covid-19, pihak pengurusan KHM tetap berasa bantuan kewangan perlu diberikan kepada mereka.

“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban kewangan yang dihadapi oleh mereka dan KHM sentiasa melihat bagaimana kami boleh membantu dari sudut kewangan serta kebajikan Persatuan Hoki Negeri dan Ahli Gabungan termasuk pemain dan barisan jurulatih yang terkesan dengan keadaan ketika ini.

“KHM juga sedang meneliti bagaimana kami boleh menambah jumlah bantuan bagi tahun hadapan selepas kami menilai kembali kedudukan kewangan kerana ketika ini Jawatankuasa Kewangan, Penajaan dan Pemasaran KHM, sedang berusaha keras untuk membawa masuk lebih ramai penaja bagi tahun hadapan.

“Dengan kehadiran lebih ramai penaja pastinya ia akan membantu untuk menaikkan lagi sukan hoki di Malaysia selain ia juga membolehkan KHM untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada semua yang bernaung di bawah KHM,” jelasnya.