Home / Golf / Galvin kecewakan MGA

Galvin kecewakan MGA

Bekas pemain amatur no 1 negara, Galvin Kyle Green. Gambar oleh Arep Kulal

Bekas pemain amatur no 1 negara, Galvin Kyle Green. Gambar oleh Arep Kulal

Kuala Lumpur, 26 May 2015 : Dikala kesemua persatuan-persatuan sukan di Malaysia berusaha untuk memperkuatkan pasukan masing-masing bagi menghadapi Kejohanan Sukan Sea 2015 di Singapura yang bermula pada 5 hingga 16 Jun 2015, Persatuan Golf Malaysia (MGA) terpaksa mengeluh kecewa apabila pemain golf amatur no 1 negara, Galvin Kyle Green, yang kini sedang menghabiskan pengajian beliau di tahun akhir di University of New Mexico, USA, mengumumkan untuk beralih menjadi pemain golf profesional mulai Jun 2015 seterusnya menghalang MGA untuk menyenaraikan beliau sebagai salah seorang pemain dalam skuad Sukan Sea 2015.

Walaupun diramalkan sebagai antara pemain yang mampu memberi pingat emas kepada skuad negara di Sukan Sea 2015,  Galvin Kyle Green, 21 tahun, terpaksa digugurkan dari skuad kebangsaan setelah mengambil keputusan untuk menjadi pemain profesional setelah beliau selesai menamatkan pengajian beliau Jun ini.

Ketika ditemui media selepas majlis penutupan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia edisi ke 113 di Kelab Golf Sarawak baru-baru ini, Presiden MGA, Senator Tan Sri Anwar Mohd Anwar Mohd Nor ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya namun akur dan gembira dengan keputusan yang dibuat oleh Galvin.

Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor menjawab pertanyaan media.

Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor menjawab pertanyaan media.

“Sudah pasti keputusan Galvin itu menjejaskan peluang kita untuk meraih pingat emas di Singapura dan kita di MGA merasai kehilangan beliau dalam skuad Sukan Sea. Namun inilah resam dalam persatuan golf, awalannya kita mencipta ruang buat cita-cita mereka dan akhirannya kita tidak boleh menghalang mereka untuk meneruskan cita-cita kepada ruang yang lebih besar. Namun begitu, kehilangan Galvin dalam skuad amatur membuka peluang kepada pemain golf amatur yang lain untuk merebut peluang menjadi pemain golf amatur no 1 di Malaysia. Saya juga bangga dan gembira dengan keputusan Galvin, sekurang-kurangnya saya berharap beliau mampu mengharumkan nama Malaysia apabila bergelar pemain golf profesional dan menjuarai Jelajah di Asia ataupun di USA. Beliau juga berkemampuan untuk mencipta sejarah untuk membawa pulang pingat Olimpik 2016 jika beliau layak menyertai sukan itu nanti,’ ujar Tan Sri Mohd Anwar.

“MGA bangga dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh Galvin, kami akur sudah tiba masanya untuk beliau menjadi pemain profesional. Justeru itu Jawatankuasa MGA perlu bekerja lebih keras dan melipat gandakan program-program pembangunan diperingkat remaja bagi membolehkan lebih ramai pemain seperti Galvin dilahirkan’, tegas Tan Sri Mohd Anwar.

Diakui sebagai pemain amatur paling menyinar dalam dunia golf amatur Malaysia, Galvin Kyle Green yang pernah menamatkan penantian selama 15 tahun untuk menyaksikan rakyat Malaysia muncul Juara Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia di edisi ke 110 pada tahun 2012 yang lalu, dijangka akan terus berpangkalan di USA untuk meneruskan perjuangan dan cita-citanya untuk menjadi pemain golf no 1 dunia.

Tanpa Galvin, skuad golf lelaki Sukan Sea 2015 negara akan diwakili oleh Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz, Bryan Teoh Wiyang, Amir Nazrin Jailani dan adik Galvin, Galven Kendal Green. Manakala skuad golf wanita akan dibarisi oleh Nur Durriyah Damian, Genieve Ling I-Ryn dan Loy Hee Ying.

MGA mensasarkan satu pingat perak dan satu pingat gangsa di dalam edisi Sukan Sea yang ke-28 kali ini dan sukan golf akan dilangsungkan di Kelab Golf Sentosa, Singapura.

Leave a Reply