Home / Golf / Fung buktikan ‘boleh bah kalau kau, di Koh Samui’ !!

Fung buktikan ‘boleh bah kalau kau, di Koh Samui’ !!

Nicholas Fung bergambar dengan trofi kemenangan selepas memenangi Kejohanan Golf Queen’s Cup 2017. Gambar © Paul Lakatos / Asian Tour

Koh Samui, Thailand, 18 Jun 2017 : Pemain golf professional negara, Nicholas Fung melakar kejayaan pertama beliau dalam Jelajah Asia apabila muncul juara Kejohanan Golf Queen’s Cup di  lapangan golf Santiburi Samui, Koh Samui, Thailand, hari ini.

Nicholas menjadi anak Malaysia ke 4 yang pernah memenangi kejohanan golf  dalam sirkit Jelajah Asia selepas Airil Rizman melakukan pada tahun 2007,  Ben Leong pada tahun 2008 dan Danny Chia pada tahun 2002 dan 2015.

Kejayaan di Koh Samui merupakan hasil usaha tidak putus asa Nicholas yang sebelum ini gagal dalam 3 percubaan untuk bergelar juara. Nicholas sekadar menduduki tempat kedua di Kejohanan Terbuka Indonesian pada tahun 2013,  Kejohanan Golf World Classic di Singapura pada tahun 2015 dan yang paling hampir di Kejohanan Golf Resorts World Manila Masters pada tahun lalu.

Jazz Janewattananond dari Thailand. ©Paul Lakatos / Asian Tour

Nicholas bermula sebagai pendahulu pada hari terakhir kejohanan namun kesilapan dalam 9 lubang pertama menyaksikan beliau berada di tempat kedua apabila pemain Thailand Jazz Janewattananond bermain cemerlang untuk memintas beliau. Memasuki sembilan lubang kedua menyaksikan Nicholas bangkit dengan membenam 4 birdie di lubang 10, 11, 16 dan 17 untuk menjuarai kejohanan dengan catatan 15 dibawah PAR, 269pukulan.

Anak muda berusia 25 tahun dari Sabah ini menghadiahkan kejuaraan beliau hari ini kepada ayahnya yang tidak putus-putus menyokong dan menemani beliau di hampir setiap kejohanan dalam Jelajah Asia.

“Ini saat yang saya nanti-nantikan sejak sekian lama. Bukan mudah untuk memenangi kejuaraan dalam Jelajah Asia dan saya bangga menjadi salah seorang anak Malaysia yang berjaya menjuarai kejohanan di Jelajah Asia. Lebih manis kejuaraan ini saya dedikasikan buat ayah saya En Ping, sempena Hari Bapa” ujar Nicholas Fung.

 

Dari Meja Editor Sukan Malaysia – TAHNIAH buat Nicholas Fung – Boleh bah kalau KAU !!!!!!

 

 

Keputusan 5 terbaik kejohanan:

269 – Nicholas FUNG (MAS) 66-68-68-67.

270 – Jazz JANEWATTANANOND (THA) 67-72-65-66.

271 – HUNG Chien-yao (TPE) 66-71-67-67.

272 – Juvic PAGUNSAN (PHI) 68-67-68-69.

273 – Thaworn WIRATCHANT (THA) 70-63-70-70.