Home / Bola Sepak / FMLLP & LALIGA meterai perjanjian persefahaman

FMLLP & LALIGA meterai perjanjian persefahaman

Dari kiri : Giorgio Pompili Rossi (Wakil LaLiga di Malaysia), Kevin Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP), Mustaza Ahmad (Ahli Lembaga Pengarah FMLLP), Oscar Mayo Pardo (Pengarah Pembangunan Antarabangsa LaLiga), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (Pengerusi FMLLP), Ivan Codina (Pengarah Urusan LaLiga bagi Asia Tenggara, Australia, Jepun dan Korea Selatan) dan Datuk Abdul Ghani Hassan (Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia)

 

Oleh : Ismadi Manap 

Johor Bahru 19 Januari 2017 – Satu lagi sejarah tercipta apabila Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan LaLiga untuk bekerjasama dalam penjenamaan masing-masing.

Majlis perjanjian persefahaman ini disempurnakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Pengerusi FMLLP dan Oscar Mayo Pardo selaku Pengarah Pembangunan Antarabangsa LaLiga di sini, hari ini.

Perjanjian kerjasama ini akan berlangsung selama 3 tahun dengan menyaksikan La Liga dan FMLLP bekerjasama untuk membangunkan blueprint 50 tahun untuk Liga Malaysia.

Kedua-dua pihak juga akan menganjurkan seminar dan bengkel oleh pakar dengan memfokuskan kepada pengurusan
sukan, pemasaran, pengurusan kewangan, keselamatan stadium, pembangunan sosial serta projek komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat.

Melalui perjanjian persefahaman ini juga, LaLiga akan memudahcara kepada pemain di LaLiga untuk bermain di Malaysia serta berusaha mengatur perlawanan di antara pasukan di LaLiga di Malaysia semasa pra musim.

Selain itu, kedua-dua pihak akan memastikan usaha terbaik untuk mencapai integrasi pemain Malaysia di Sepanyol dan sebaliknya.

“Saya sangat gembira dengan kolaborasi ini. Kami boleh bekerjasama dalam pembangunan bolasepak jangka masa panjang dalam semua aspek.

“Kita adalah organisasi yang masih muda lagi, jadi kita perlu belajar dengan mereka yang berpengalaman dan saya rasa La Liga adalah yang paling sesuai untuk kita berkolaborasi bukan sahaja dari aspek pemasaran tetapi kualiti permainan bola sepak.

“Saya tidak akan memegang jawatan selamanya dan niat saya ikhlas untuk memajukan bola sepak tanah air dan nanti siapa sahaja yang akan memegang jawatan Presiden FAM atau Pengerusi FMLLP akan dibantu oleh blue print yang disediakan La Liga untuk tempoh 50 tahun” ujar DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Pengerusi FMLLP.