Home / Hoki / FIH Siri Akhir Wanita Bandbridge 2019: Malaysia Ke penentuan kedudukan 3/4

FIH Siri Akhir Wanita Bandbridge 2019: Malaysia Ke penentuan kedudukan 3/4

Keputusan tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam aksi separuh akhir FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 yang berlangsung hari ini menyaksikan skuad negara yang telah memberikan aksi terbaik mereka di atas padang terpaksa akur untuk beraksi di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Malaysian Tigress akan bertemu Republik Czech dalam aksi penentuan tersebut selepas satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung antara tuan rumah Ireland dan Republik Czech berkesudahan dengan Republik Czech tewas 0-4.

Aksi antara Korea Selatan dan skuad negara menyaksikan Korea Selatan terlebih dahulu dihadiahkan dengan beberapa pukulan sudut penalti namun mereka gagal untuk menyempurnakan kelebihan tersebut.

Bagaimanapun pada minit ke-12 ketika mereka diberikan pukulan percuma, Cho Hyejin yang berada di hadapan pintu gol negara dalam keadaan tidak dikawal menyambut hantaran rakan sepasukannya untuk melepaskan satu pukulan menewaskan penjaga gol negara, Farah Ayuni Yahya.

Minit ke-17 Korea Selatan menggandakan kedudukan menerusi Kim Hyunji yang menyelinap masuk ke sebelah kiri pintu gol negara dan melakukan biasan daripada hantaran rakan sepasukannya untuk Korea Selatan selesa dihadapan.

Skuad negara mempunyai peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan menerusi dua pukulan sudut penalti yang diterima pada separuh masa pertama namun tidak berjaya diterjemahkan kepada gol dan kedudukan 0-2 menutup aksi separuh masa pertama.

Gol ketiga Korea Selatan hadir pada minit ke-48 selepas situasi kelam kabut yang berlaku dihadapan gawang negara ketika barisan pertahanan cuba untuk menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi digunakan oleh Cheon Eunbi untuk Korea Selatan terus menambah jaringan.

Skuad negara sekali lagi memiliki kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 namun flik yang dilakukan oleh Nuraini Abd Rashid menuju tepat ke penjaga gol Korea Selatan, Jang Soo Ji untuk dia menyelamatkan pintu gol Korea Selatan daripada dibolosi.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan sekaligus menyaksikan aksi final akan menemukan tuan rumah Ireland dan Korea Selatan sementara penentuan kedudukan ketiga dan keempat akan menemukan skuad negara dengan Republik Czech.