Home / Hoki / FIH SIRI AKHIR WANITA BANBRIDGE 2019: SKUAD NEGARA ATUR STRATEGI KEKANG KOREA SELATAN

FIH SIRI AKHIR WANITA BANBRIDGE 2019: SKUAD NEGARA ATUR STRATEGI KEKANG KOREA SELATAN

Disebalik kejayaan skuad wanita negara melangkah ke pentas separuh akhir FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 selepas menundukkan Perancis 3-2 semalam, pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah menyifatkan pertemuan tersebut bukan aksi terbaik daripada anak-anak buahnya.

Dharmaraj bagaimanapun bersyukur dengan kemenangan yang membawa mereka ke pentas separuh akhir dan mahu pemain memberikan tumpuan yang lebih tinggi kerana lawan yang menanti mereka, Korea Selatan disifatkan sebagai satu pasukan yang mantap dari setiap sudut.

Pengendali berusia 50 tahun itu juga mungkin akan menerapkan corak bertahan yang lebih bagi mengekang lawan daripada menjaringkan gol sambil akan menggunakan peluang serangan balas yang dimiliki sebaiknya dalam usaha untuk mendapatkan jaringan.

“Saya merasakan aksi semalam bukan aksi yang terbaik kami, mungkin juga faktor cuaca yang terlalu sejuk kerana sejak tiba di Eropah kami tidak pernah berdepan dengan cuaca yang begitu sejuk.

“Keadaan cuaca yang terlalu sejuk itu juga menyebabkan pemain-pemain tidak dapat bergerak dengan baik namun kami cukup bertuah apabila berjaya menjaringkan tiga gol yang membantu kemenangan kami semalam walaupun tidak mempamerkan aksi yang terbaik.

“Bertemu dengan pasukan Korea Selatan esok, semua tahu mereka bukan pasukan yang biasa-biasa kerana mereka pasukan yang sentiasa membuat penampilan di Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik selain jurang ranking kami dengan mereka cukup berbeza di mana mereka di ranking ke-11 dan kami ke-22.

“Mereka merupakan satu pasukan yang besar dan bersama Ireland, Korea Selatan merupakan pasukan pilihan kejohanan selain berdasarkan pertemuan lalu kami belum pernah menewaskan pasukan mereka.

“Kami tidak boleh mempamerkan corak permain terbuka seperti yang kami lakukan ketika bertemu Perancis dan Republik Czech, tetapi kami perlu memberikan fokus kepada pertahanan kerana Korea Selatan satu pasukan yang mantap.

“Kami mungkin terpaksa memperlahankan serangan dan akan melakukan serangan balas sebagai salah satu cara yang dilihat terbaik untuk kami cuba sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri untuk mengheret perlawanan ke shoot-out.

“Bagaimanapun pasukan Korea Selatan merupakan satu pasukan yang kuat dan pemain perlu berada di tahap yang terbaik jika mahu melakukan kejutan,” jelasnya.

Malaysian Tigress melangkah ke separuh akhir hasil jaringan tiga gol dalam separuh masa pertama di mana dua gol berpunca daripada pukulan sudut penalti dan satu gol gerakan padang.

Pertemuan antara Malaysia dan Korea Selatan akan berlangsung jam 10.30 malam waktu Malaysia.