Home / Hoki / FIH SIRI AKHIR WANITA BANBRIDGE 2019: MALAYSIAN TIGRESS FOKUS PERINGKAT SEPARUH AKHIR

FIH SIRI AKHIR WANITA BANBRIDGE 2019: MALAYSIAN TIGRESS FOKUS PERINGKAT SEPARUH AKHIR

Kejayaan meraih dua kemenangan disamping satu kekalahan dalam saingan Kumpulan A, Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 Ireland membantu Malaysian Tigress untuk menutup aksi peringkat kumpulan di kedudukan kedua.

Kedudukan terakhir itu sekaligus menyaksikan skuad negara akan bertemu pasukan yang berada di tempat ketiga dalam Kumpulan B, iaitu Perancis bagi aksi kalah mati di mana pemenang bagi pertemuan tersebut akan berhadapan Korea Selatan di pentas separuh akhir.

Bagi pengendali Malaysian Tigress, Muhammad Dharmaraj Abdullah, cabaran sebenar buat anak-anak buahnya kini bermula di saingan kalah mati dan sasaran mereka adalah untuk menewaskan pasukan yang bakal ditemui esok.

Walaupun kedudukan ranking skuad negara berada di atas pasukan lawan, namun beliau tidak memandang rendah keupayan Perancis yang dianggap telah menunjukkan peningkatan yang drastik selain mahu fokus yang lebih tinggi diberikan pada baki-baki perlawanan penting itu.

“Sebelum ke perlawana ini kami memang mensasarkan untuk menamatkan saingan kumpulan di kedudukan dua teratas dan menjangkakan yang kami mungkin akan bertemu Ukraine di pusingan kalah mati.

“Apa yang kami jangkakan dari awal telah berlaku namun berlaku sedikit perubahan di mana Perancis yang perlu kami tentang dan bukannya Ukraine.

“Perancis berada di kedudukan ranking ke-30 dan mereka merupakan satu pasukan yang telah menunjukkan satu peningkatan yang cukup drastik di mana mereka juga telah melakukan satu persiapan yang cukup awal untuk Sukan Olimpik 2024 kerana Perancis merupakan tuan rumah.

“Kami telah meletakkan sasaran daripada awal sebelum ke perlawanan ini lagi untuk menewaskan pasukan yang kami perlu tentang di pusingan kalah mati dan bersedia untuk bertemu Korea Selatan selepas kami berjaya melepasi peringkat suku akhir.

“Semua sedia maklum Korea Selatan merupakan satu pasukan yang hebat dan kami mempunyai pengalaman bertemu mereka sebelum ini.

“Bagi saya perlawanan sebenar untuk Malaysian Tigress adalah di peringkat kalah mati di mana kami perlu memberikan fokus yang penuh dan ia sesuatu yang cukup baik untuk kami menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua,” ujarnya.

Skuad wanita akan turun bertemu Perancis esok jam 10.45 malam waktu Malaysia dan pemenang bagi pertemuan ini akan melangkah ke separuh akhir bertemu Korea Selatan yang berada di ranking ke-11 dunia.

Ini sekaligus mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai naib juara kumpulan di belakang tuan rumah Ireland.

Malaysia akan bertemu Perancis yang menduduki tangga ketiga kumpulan B bagi saingan play-off ke separuh akhir.