Home / Hoki / FIH SIRI AKHIR WANITA BANBRIDGE 2019: MALAYSIA JUMPA KOREA SELATAN DI SEPARUH AKHIR

FIH SIRI AKHIR WANITA BANBRIDGE 2019: MALAYSIA JUMPA KOREA SELATAN DI SEPARUH AKHIR

Kejayaan skuad wanita negara menewaskan Perancis 3-2 pada aksi kalah mati FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 membawa mereka ke pentas separuh akhir bertemu Korea Selatan.

Selaku juara Kumpulan B, Korea Selatan terlebih dahulu telah mengesahkan slot mereka di separuh akhir dan hanya menanti lawan mereka iaitu Malaysia untuk perhitungan yang akan berlangsung pada Sabtu jam 10.30 malam waktu Malaysia.

Pada pusingan kalah mati yang berlangsung hari ini, Malaysian Tigress membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi penyudahan terus pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh pakar pukulan sudut penalti negara, Nuraini Abd Rashid.

Berselang dua minit kemudian, mereka dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti kedua dan kali ini set-piece yang dirancang membuahkan hasil apabila bola yang dirembat Julaini Mohamad Din berjaya dibias oleh Fatin Shafika Mahd Sukri untuk gol kedua terhasil.

Bagaimanapun seminit kemudian Perancis menerusi Delfina Gaspari membuka akaun jaringan mereka hasil gerakan padang.

Beberapa saat sebelum suku pertama berakhir, Hanis Nadiah Onn yang bijak menggunakan situasi kelam kabut di gawang lawan menjaringkan gol ketiga skuad negara untuk Malaysia selesa dihadapan 3-1.

Perancis sekali lagi dilihat berusaha untuk merapatkan jurang jaringan kali ini menerusi pukulan sudut penalti kedua yang dimiliki mereka pada minit ke-26 dan Guusje van Bolhuis memilih untuk melakukan flik di sebelah kiri gol negara untuk mengubah kedudukan menjadi 3-2.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia dan Perancis terus dihidangkan dengan peluang untuk menambah jaringan namun kedua-dua pasukan buntu untuk menterjemahkan peluang-peluang tersebut kepada jaringan termasuk deretan kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki mereka.

Kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan keputusan tersebut sudah cukup untuk menghantar skuad wanita negara ke pentas separuh akhir menentang Korea Selatan.