Home / Bola Sepak / FIFA BERI LAMPU HIJAU KEPADA LIRIDON KRASNIQI UNTUK BERAKSI DI PENTAS ANTARABANGSA

FIFA BERI LAMPU HIJAU KEPADA LIRIDON KRASNIQI UNTUK BERAKSI DI PENTAS ANTARABANGSA

Hasrat pemain kelahiran Kosovo Liridon Krasniqi untuk menyarung jersi Harimau Malaya akhirnya menjadi kenyataan apabila pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kini sah bergelar pemain naturalisasi kedua negara selepas mendapat surat kebenaran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berita gembira itu juga pastinya menambah lagi kekuatan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 hujung tahun ini.

Liridon bergelar pemain naturalisasi kedua negara selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat surat kelulusan FIFA untuk Liridon beraksi di pentas antarabangsa.

Selaku pemain perancang khidmat Liridon yang berusia 28 tahun pastinya ditagih Harimau Malaya lebih-lebih lagi menjelang aksi peringkat kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand hujung tahun ini.

Liridon telah memenuhi syarat lima tahun beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Namun status lagi seorang pemain yang diberi kerakyatan iaitu Guilerma de Paula masih belum mendapat perhatian dari badan induk dunia itu.