Home / Bola Sepak / Felda United ikat Selangor

Felda United ikat Selangor

Selangor memulakan kempen Liga Super Malaysia 2019 dengan mampu seri 1-1 bertemu Felda United di Stadium Shah Alam.

Selangor melancarkan serangan mengasak kubu Felda sejurus selepas sepak mula menerusi gandingan Rufino, Faiz dan Amri Yahya.

Keghairahan Selangor mengasak kubu Felda hampir mengundang padah pada minit ke-20 apabila Felda nyaris membuka tirai jaringan hasil kesilapan barisan pertahanan Selangor.

Berbaki 15 minit terakhir perlawanan separuh masa pertama Selangor dilihat seperti hilang idea dan cuba memperlahankan tempo perlawanan.

Hinggalah pada minit ke-40, pemain import Selangor iaitu Antonio German membuka tirai buat Selangor dan jaringan peribadi pertamanya hasil sepakan kencangan dari luar kotak penalti.

Kedudukan ini kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Felda United cuba bangkit merencanakan peluang mencipta gol penyamaan.

Pada minit ke-50, Amri Yahya berjaya menyelamatkan tandukan pemain Felda dari menerjah gawang Selangor yang hampir memberikan gol penyamaan buat Felda.

Kesungguhan Felda membuahkan hasil apabila Hadin Azman berjaya menjaringkan gol penyamaan dari sudut yang sukar bagi mengikat Selangor 1-1 pada minit ke-70.

Selangor cuba melebarkan jurang jaringan hasil percubaan Nurridzwan selang dua minit kemudian namun berjaya ditepi oleh Norazlan.

Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang menyelamatkan cubaan Faiz pada minit ke-72.

10 minit terakhir perlawanan menampakkan aksi yang lebih mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tanpa menghiraukan hujan yang mulai turun.

Perlawanan tamat menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berpuashati dengan berkongsi mata yang nyata mengecewakan lebih kurang 15,000 penyokong yang hadir.