Home / Lain - Lain / FATEHAH UCAP SELAMAT TINGGAL DARI ARENA BASIKAL TREK

FATEHAH UCAP SELAMAT TINGGAL DARI ARENA BASIKAL TREK

Selepas 17 tahun bergelar pelumba trek kebangsaan Fatehah Mustapa akhirnya mengumumkan secara rasmi.

Pada usia 31 tahun Fatehah beranggapan sudah sampai masanya dia meninggalkan veledrom dengan siri pencapaian yang cukup membanggakan.

Fatehah tentunya akan dikenang peminat sukan berbasikal sebagai perintis kepada kebangkitan pelumba trek wanita ketika revolusi basikal trek negara bermula pada tahun 2007 di bawah kendalian jurulatih John Beasley.

Tidak dinafikan tiada pelumba basikal wanita negara yang mampu menggantikan kehebatan Fatehah Mustafa yang berasal dari Terengganu sehinggalah saat persaraannya.

Di bawah John Beasley, Fatehah, Zulhasni Awang bersama pelumba senior Josiah Ng memulakan revolusi luar biasa sukan basikal trek yang pada awalnya dianggap cukup sukar buat pelumba negara melakukannya.

Bermula 2007 pencapaian hebat mereka mula melangkaui Asia Tenggara dan seterusnya membuka mata peminat sukan itu di peringkat antarabangsa.

Berpengkalan di Melbourne Fatehah mula menguasai veledrom kejohanan Asia, Sukan SEA dan juga Sukan Asia.

Kemuncak karier Fatehah telah mengumpul dua emas di kejohanan Asia dalam dua edisi berturut-turut pada 2012 dan 2013 dalam acara kegemarannya Keirin dan Sprint selain mengumpul dua emas enam perak dan lapan gangsa sepanjang 2008 dan 2015 sepanjang penampilan trek Asia itu.

Paing membanggakan pingat perak di Sukan Asia Incheon (2014) dan di peringkat rantau Asia Tenggara 17 emas diterjemahkan oleh Fatehah sepanjang Sukan SEA 2008 hingga 2017 cukup membuktikan penguasaan mutlaknya di rantau ini.

Karier warna warni Fatehah juga dihiasi dengan gelaran Olimpian apabila dua kali dia layak beraksi di Sukan Olimpik di London (2012) dan Rio (2016) selain diberi penghormatan sebagai pembawa jalur gemilang kontinjen negara di Sukan Komanwel Glasgow (2014).Penampilan terakhirnya di pentas Komanwel adalah pada Sukan Komanwel Gold Coast (2018).

Dalam kenyataan di laman sosialnya Fatehah mengucapkan terima kasih kepada semua badan-badan sukan negeri dan negara terutamanya MSN dan ISN yang membantunya sehingga kini selain barisan penaja-penaja basikal trek.