Home / Bola Sepak / FAM : HAD GAJI SYILING TIDAK DAPAT DIREALISASIKAN ATAS DASAR PROFESIONALISMA

FAM : HAD GAJI SYILING TIDAK DAPAT DIREALISASIKAN ATAS DASAR PROFESIONALISMA

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan penetapan had gaji syiling pemain tidak mampu dilaksanakan jika dilihat dari sudut profesionalisma.

Beliau menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan menghalang sekiranya ada persatuan atau kelab yang merancang pendekatan terbaik buat pasukan masing-masing.

Datuk Hamidin berkata demikian ketika menjawab soalan daripada penyokong tempatan yang mencadangkan kewajaran had gaji syiling selepas melihat pasukan dibebani hutang selepas mendapatkan pemain terbaik.

Jelas beliau juga cadangan itu pernah dibincangkan oleh FAM pada suatu ketika dahulu namun tidak mendapat persetujuan dari pelbagai pihak.

Dengan mengambilkira sudut profesionalisma dalam bola sepak FAM tidak dapat menetapkan gaji syiling.

Isu tunggakan gaji pasukan Liga M boleh dianggap virus yang sentiasa menular dan sehingga kini tiada lagi penawarnya.

Saban musim rungutan terhadap tunggakan gaji sehingga berbulan-bulan sehingga ada pasukan yang terpaksa gulung tikar dan pemain pula langsung tidak mendapat bayaran.

Sementara itu presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Safee Sali juga senada tidak setuju dengan perlaksanaan had gaji syiling.

“Sebagai pemain mempersembahkan prestasi terbaik dan semestinya memerlukan gaji yang lumayan. Ini seterusnya dapat membantu pasukan kebangsaan yang dibarisi pemain-pemain yang mantap”, ujar Safee.

Tambah beliau lagi persatuan dan kelab perlu bersikap rasional dengan usaha dan pengorbanan yang dilakukan pemain-pemain demi kejayaan pasukan.

Baginya isu tunggakan gaji tidak akan timbul jika persatuan dan kelab bijak mengendalikan urusan kewangan mengikut kemampuan.