Home / Bola Sepak / FA SF1 : Helang Merah raih bekalan tipis, Tok Gajah jinakkan Seladang di Kuantan

FA SF1 : Helang Merah raih bekalan tipis, Tok Gajah jinakkan Seladang di Kuantan

Tugas sukar menanti Kedah apabila sekadar berjaya membawa bekalan tipis bagi menumpaskan Felda United FC 1-0 pada aksi Separuh Akhir Pertama Shopee Piala FA di Stadium Darul Aman malam tadi.

Corak serangan pantas Kedah mengasak pintu gol lawan dengan beberapa percubaan pemainnya namun Felda yang bermain bertahan berjaya dalam menangkis serangan yang dilancarkan tuan rumah.

Pada separuh masa kedua, hasil serangan bertali arus yang dilakukan Kedah akhirnya membolehkan mereka memperolehi sepakan penalti selepas pemain pertahanan, Renan Alves dijatuhkan dalam kotak penalti.

Dan peluang keemasan itu tidak disia-siakan oleh Fernando Rodriguez untuk menyempurnakan penalti berkenaan pada minit ke-69 yang menjadi gol tunggal pada perlawanan itu.

Lain pulanya cerita di Kuantan, Pahang mengukuhkan bekalan untuk berkunjung ke Ipoh setelah berjaya menewaskan Perak 3-1 dalam perlawanan yang penuh mendebarkan.

Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi jaringan Herold Goulon hasil tandukan kencang hasil lencongan dari sebelah kiri bagi menewaskan penjaga gol Perak pada minit ke-12.

Mohamadou Sumareh menambah tekanan buat Perak dengan jaringan keduanya hasil sepakan gunting cantik di hadapan gol Perak pada minit ke-39 perlawanan.

Perak cuba bangkit dengan mendekatkan kedudukan hasil jaringan cantik Partiban menerusi rembatan di dalam kotak penalti Pahang pada minit ke-54 perlawanan.

Herold Goulon sekali lagi menjadi duri dalam daging bagi melengkapkan malam gemilang Pahang rembatan kencang “half field” yang menggamankan penjaga gol Perak pada minit ke-90 pada masa kecederaan.