Home / Golf / #EurAsiaCup2016 Danny dan Nicholas sertai pasukan Asia

#EurAsiaCup2016 Danny dan Nicholas sertai pasukan Asia

Nicholas Fung, Jee Milkha Singh dan Danny Chia bergambar dengan Piala EurAsia. Gambar oleh Asian Tour

Nicholas Fung, Jee Milkha Singh dan Danny Chia bergambar dengan Piala EurAsia. Gambar oleh Asian Tour

SHAH ALAM 15 Disember 2015 : Ketua pasukan Asia, Jeev Milkha Singh akhirnya mengumumkan senarai 12 pemain pasukan Asia yang akan bertarung dengan pasukan Eropah pada edisi kedua Kejohanan Golf Piala EurAsia di Kelab Golf Glenmarie, bulan depan. Lebih menarik, pasukan Asia kali ini akan turut diwakili oleh dua orang pemain dari Malaysia, Danny Chia dan Nicholas Fung.

Menyertai Danny yang terpilih berdasarkan Order of Merit Jelajah Asia adalah dua bintang India Anirban Lahiri dan SSP Chowrasia serta ketua pasukan Asia pada edisi lalu, Thongchai Jaidee dari Thailand. Turut berada dalam pasukan Asia ialah Kiradech Aphibarnrat dari Thailand, Shingo Katayama dari Jepun, dua pemain dari Korea Selatan, K T Kim dan Byeonghun An yang terpilih berdasarkan kedudukan ranking golf dunia. Jeev turut menyenaraikan pemain negara Nicholas Fung, Wu Ashun dari China, Prayad Marksaeng dari Thailand dan Jeunghun Wang dari Korea sebagai pilihan ketua pasukan untuk melengkapkan senarai 12 pemain Asia.

Jeev ketika ditemubual oleh para wartawan ternyata optimis dan yakin barisan pemain yang disenaraikan berada dalam tahap prestasi terbaik dan mampu memberi saingan kepada pasukan Eropah. Mengulas mengenai pemilihan Danny Chia dan Nicholas Fung, Jeev berkata dua pemain itu memang berhak berada dalam senarai 12 pemain yang dinamakannya itu selepas menampilkan prestasi baik pada musim ini.

“Danny Chia adalah pemain terbaik di Malaysia dan beliau bermain sangat cemerlang pada tahun ini dengan memenangi Terbuka Taiwan dan berada di kedudukan keempat di dalam Order of Merit Jelajah Asia sekali gus secara automatik layak dibawa masuk ke dalam pasukan. Saya memilih Nicholas Fung kerana dia menunjukkan prestasi hebat pada beberapa minggu terakhir selain pengalaman beraksi pada edisi lalu. Sudah tentu saya memerlukan sokongan penonton untuk pasukan saya dan dengan adanya 2 pemain ini dalam pasukan saya, saya pasti saya akan memperolehi sokongan itu.’ – ujar Jeev dengan penuh yakin.

Kejohanan Golf Piala EurAsia dibawa oleh DRB Hicom akan berlangsung dari 15 hingga 17 Januari di Kelab Golf Glenmarie, Subang, Selangor. Kejohanan ini akan mempertemukan pemain-pemain terbaik Asia dan Eropah.

Dari meja Editor Sukan Malaysia, Selamat Berjuang Danny Chia dan Nicholas Fung !

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*