Home / Lain - Lain / El Pescao buktikan, beliau luar biasa !

El Pescao buktikan, beliau luar biasa !

Aksi Hafizh Syahrin dalam perlumbaan MotoGP di litar antarabangsa Sepang hari ini. Gambar oleh Arep Kulal / SIC

SEPANG, 4 November 2018 : Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin membuktikan kepada peminat-peminat yang meragui kemampuan beliau dengan mempamirkan aksi tunggangan yang luar biasa di perlumbaan MotoGP di litar Sepang, hari ini.

Mengakui  perlumbaan hari ini amat sengit, Hafizh melengkapkan aksinya di kedudukan ke-10 dengan catatan masa 40:59.291s.

Perlumbaan MotoGP di litar antarabangsa Sepang hari ini. Gambar oleh Arep Kulal / SIC

Selepas ramai yang meragui keupayaannya apabila gagal menyerlah dalam pusingan catatan masa semalam, Hafizh yang bermula dari petak belakang mendapat suntikan semangat dari keluarga terutama ayahnya dan meminjam semangat juang rakan baiknya, pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin yang tetap berlumba walaupun masih mengalami kecederaan bahu dan lutut.

Perlumbaan Shell Malaysia Grandprix 2018 di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan juara dunia, Marc Marquez muncul juara dengan catatan 40:32.37. Alex Rins daripada Team Suzuki Ecstar ditempat kedua dengan catatan 40:34.27 dan Johann Zarco dari pasukan Tech 3 Yamaha di tempat ketiga dengan catatan 40:34.84.