Home / Golf Remaja / Eidan, harumkan nama Malaysia di Kejohanan Golf Remaja terbesar dunia.

Eidan, harumkan nama Malaysia di Kejohanan Golf Remaja terbesar dunia.

Petaling Jaya 24 Ogos 2019 : Eidan Jamzidi, 11 tahun dari Kuala Lumpur, membuktikan usia bukan penghalang untuk mengharumkan nama Malaysia apabila beraksi cemerlang di dalam Kejohanan Dunia US Kids Golf di Pinehurst, North Carolina bulan lalu.

Eidan yang bermain 2 di-bawah par pada hari pertama dan catatan par di hari kedua, bermain cemerlang di pusingan akhir kejohanan dengan mencatatkan pukulan 6 di-bawah, untuk berkongsi di tempat kedua bagi kategori bawah 11-tahun bersama dengan pemain England, Finlay Eager dengan jumlah catatan keseluruhan 210, 6 dibawah par. Kejohanan dimenangi oleh Sahish Reddy dari USA yang mencatatkan 208 pukulan, 8 dibawah par.

Ayah Eidan, Jamzidi Khalid ternyata gembira dengan pencapaian anaknya yang sebelum ini memenangi Kejohanan Golf MSSM bawah 12 tahun.

Eidan Jamzidi bersama ayahnya, Jamzidi Khalid dan pemain golf no-5 dunia, Justin Thomas di kejohanan golf CIMB Classic di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Eidan merupakan satu-satunya pemain dari Malaysia yang layak bermain dalam kejohanan kali ini selepas melayakkan diri di pusingan kelayakkan di Kuala Lumpur beberapa bulan yang lalu. Kejayaan ini amat mengembirakan kami” – ujar Jamzidi yang turut mengakui minat anaknya dalam sukan golf bermula apabila beliau membeli set golf permainan buat anaknya sebagai hadiah ulangtahunnya yang ke-4.

Kami membelikannya set permainan peralatan golf ketika beliau berusia 4 tahun, sejak itu beliau menunjukkan minat dan sering mengikut saya dan atuknya bermain golf” – ujar Jamzidi

Eidan yang mengimpikan untuk meneruskan pengajian nya dalam sukan golf di USA kini dilatih oleh Pro Chong Chee Ming dan Kip Keuter di TPC Kuala Lumpur.

Kejohanan Dunia US Kids Golf di Pinehurst tahun ini merupakan kejohanan golf remaja terbesar di dunia dengan penyertaan hampir 1,500 orang pemain dari seluruh dunia.