Home / Lain - Lain / DUA REGU PELAPIS (SKUAD B) BAKAL MERIAHKAN SARINGAN STL

DUA REGU PELAPIS (SKUAD B) BAKAL MERIAHKAN SARINGAN STL

Pasukan sepak takraw negara akan menghantar dua regu dari skuad B21 tahun bagi menyertai kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) yang dijadualkan berlangsung September ini.

Bagaimanapun menurut ketua jurulatih Abdul Talib Ahmad perkara itu masih di peringkat cadangan dan harap ia dapat diterima penganjur selepas tiada kejohanan antarabangsa susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak 18 Mac lalu.

Ketiadaan pemain import pada STL yang masuk musim ke-7 itu nanti mampu memberi impak positif kepada pembangunan bakat muda.

Bagi Abdul Talib ia peluang terbaik buat skuad kebangsaan khususnya skuad pelapis dalam menggilap bakat pemain muda negara.

Sebagai langkah persediaan seramai 42 pemain akan melapor diri pada 5 Julai ini di Bukit Jalil dan Kompleks Sukan MSN Keramat.

Ia meliputi 15 pemain utama skuad A, 15 pemain B21 tahun (skuad B) dan baki 12 lagi adalah dari pasukan wanita.

Namun tarikh penganjuran belum dimuktamadkan sambil menunggu pengesahan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum ini Persatuan Sepak Takraw Malaysia bercadang untuk memulakan saingan STL pada 2 September berbanding jadual asal pada 15 Ogos.

Kalendar kejohanan akan berlangsung di satu tempat sahaja iaitu di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur.