Home / Bola Sepak / Dollah Salleh: Kita Akan Cuba Yang Terbaik

Dollah Salleh: Kita Akan Cuba Yang Terbaik

dollah

Artikel Oleh : Al-Zaem

Masih terlalu awal untuk menilai kekuatan sebenar skuad Harimau Malaya dan kemampuan jurulatih baharunya, Dollah Salleh kerana tempoh masa singkat yang diberikan kepadanya menjelang perlawanan menentang Tajikistan, Jumaat ini.

Walaubagaimanapun, perlawanan sulung yang bakal dihadapi Dollah Salleh ini bakal memperlihatkan sejauh mana perubahan yang telah dilakukannya setelah hampir sebulan sejak dilantik melatih skuad kebangsaan.
Tempoh tujuh hari yang dimilikinya untuk melakukan persiapan setelah mengumumkan senarai pemain adalah singkat namun itulah cabaran buat Dollah. Segala percaturan dan kombinasi pemain perlu diuji sebaiknya agar tidak dimalukan skuad di ranking ke-126 dunia tersebut.

“Kalau diikutkan, saya cuma ada lima hari sahaja bagi melatih semua pemain ini bersama, namun saya tidak mahu terlalu memperkatakan perkara berkenaan, saya akan cuba dapatkan yang terbaik daripada pasukan ini. “Memang sedikit sukar kerana dalam masa terdekat, skuad ini akan terus berlawan dengan pasukan yang ternyata lebih baik daripada kita. Memang saya risau tetapi bukan sesuatu yang mustahil untuk membuat kejutan,” ujar Dollah lagi.

Skuad kendalian Mukhsin Mukhamadiev menang 1-0 ke atas Afganistan dan tewas tipis 1-2 kepada Estonia dalam dua aksi persahabatan untuk tahun ini. Selain itu, tiada apa yang mampu diperkatakan tentang pasukan daripada Asia Tengah ini.Melihatkan keputusan tewas tipis kepada Estonia, skuad Tajikistan dijangka bakal memberikan saingan yang baru dan bermutu buat skuad kebangsaan. Ini mungkin persediaan yang baik setelah kerap kali disajikan perlawanan ‘berulang’ menentang pasukan seperti Filipina dan Singapura.

Menjelang perlawanan menentang Harimau Malaya, Tajikistan telah mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan, Khayr Vahdat FK pada Ahad lalu yang berkesudahan seri tanpa jaringan. Mukhsin dilaporkan menggunakan pemain yang hampir sama ketika aksi terakhir menentang Estonia pada 7 Jun yang lalu. “Apa yang boleh saya katakan, kita akan cuba yang terbaik dan tidak ke sana untuk melengkapkan jadual persahabatan kerana kami mempunyai matlamat tersendiri.

“Selepas perlawanan ini saya hanya dapat mengumpul pemain pada September. Kami tidak pergi ke sana sebagai belasahan,” tegas jurulatih berusia 51 tahun itu sebelum berlepas ke Tajikistan bersama-sama 23 pemain pilihannya kelmarin. Ujian sebenar Dollah adalah di Piala AFF Suzuki 2014 yang bakal berlangsung mulai 22 November ini. Skuad negara telah diundi bersama juara bertahan yang juga tuan rumah, Singapura, Thailand dan juara pusingan kelayakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*