Home / Golf / #DoaBuatSHAABAN – Semakin stabil namun masih lemah

#DoaBuatSHAABAN – Semakin stabil namun masih lemah

Gambar terkini Shaaban Hussin © SukamMalaysiadotMY

Gambar terkini Shaaban Hussin © SukanMalaysiadotMY

KUALA LUMPUR, 3 April 2016: Keadaan pemain golf negara, Shaaban Hussin yang mengalami kemalangan Khamis lalu, semakin stabil namun masih lemah setelah menjalani pembedahan susulan di Hospital Besar Kuala Lumpur kelmarin. Menurut abangnya, Shawal Hussin, 38 tahun, yang ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebentar tadi, keadaaan Shaaban masih lemah namun stabil tetapi memerlukan rehat dan penjagaan yang rapi setelah dikeluarkan dari unit rawatan rapi semalam.

Sambil mengakui Shaaban menerima kunjungan yang tidak putus-putus dari saudara-mara, rakan-rakan dan orang kenamaan, Shawal berharap mereka yang melawati beliau dapat memberi ruang kepada Shaaban untuk mendapat rehat sepenuhnya.

Mohd Shawal Hussin . Gambar sumber BH Online

Mohd Shawal Hussin . Gambar sumber BH Online

“Sejak dimasukkan di Unit Rawatan Rapi, Shaaban menerima kunjungan dari orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan beliau. Apabila dipindahkan ke wad ini, kunjungan tidak putus-putus dan adakalanya saya dipanggil oleh jururawat untuk tidak membenarkan pelawat memasuki bilik Shaaban bagi membolehkan beliau berehat, justeru itu saya berharap agar semua pihak yang melawat beliau dapat memahami keadaan Shaaban dan memahami keadaan keluarga kami dalam menghadapi saat sedih ini’

“Keluarga amat berterima kasih dan amat menghargai kehadiran pelbagai pihak dan sokongan yang diberikan kepada Shaaban. Namun dalam masa yang sama, saya beranggapan masa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk berbual-bual dengan Shaaban kerana keadaan beliau yang masih lagi lemah dan trauma”

Sedar dengan status Shaaban yang merupakan antara pemain golf yang mudah didampingi dan disayangi oleh rakan-rakan dan peminat, Shawal berharap agar semua pihak terus mendoakan Shaaban dan terus memberi semangat kepada adiknya untuk pulih dengan segera.

“Bagi pihak keluarga saya mengucapkan terima kasih ke atas semua doa dan bantuan yang dilakukan oleh semua pihak ke atas adik saya. Saya amat berharap doa dan bantuan ini berterusan bagi membolehkan Shaaban meneruskan kehidupan beliau selepas pulih nanti. Saya berharap mereka akan terus mendoakan dan menyokong Shaaban.”