Home / Hoki / Datuk Subahan kekal sebagai presiden MHC

Datuk Subahan kekal sebagai presiden MHC

Datuk Subahan Kamal mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Konfedarasi Hoki Malaysia (MHC) menjelang pemilihan sempena mesyuarat agong tahunan (AGM) badan induk itu pada 16 November ini.

Beliau mendapat 13 pencalonan secara tidak rasminya disahkan menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon iaitu Pengerusi Eksekutif Air Asia Group Berhad Datuk Kamarudin Meranun hanya memperoleh dua pencalonan.

Tarikh tutup pencalonan adalah pada 2 November lalu jam 3.00 petang.

Turut diumumkan perebutan timbalan presiden lelaki yang menyaksikan persaingan tiga penjuru yang membabitkan pemangku Raja Pahang Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah, Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur Datuk Megat Shahriman Zaharuddin dan Jadadish Chandra.

Bagi jawatan timbalan presiden wanita, penyandangnya, Prof Datuk Dr Sharmala Subramaniam akan bersaing dengan bekas pemain kebangsaan, Maheswari Kanniah.

Dalam pada itu, seramai 17 calon akan bertanding bagi merebut jawatan naib presiden lelaki manakala lima calon beraing bagi jawatan naib presiden wanita.

Pada perkembangan lain timbalan presiden persatuan hoki Johor Datuk Manjit Majid Abdullah tanpa berselindung mendakwa ada sesuatu yang tidak kena pada proses pemilihan kali ini yang menyebabkan Datuk Kamarudin Meranun tidak layak bertanding mencabar jawatan presiden.

Datuk Manjit merasakan bahawa ini adalah satu kehilangan besar bagi pembangunan sukan hoki apabila Datuk Kamarudin Meranun merupakan salah satu individu yang banyak menyumbang kepada arus pembangunan sukan di Malaysia.

Dengan apa yang berlaku beliau menegaskan akan menarik diri daripada bertandingan jawatan naib presiden dan beliau dimaklumkan beberapa individu turut mengambil langkah serupa.

Walaupun terkilan dengan proses pemilihan pucuk kepimpinan MHC menjelang mesyuarat agong tahunan 16 November ini beliau akur dan menerimanya dengan baik.