Home / Bola Sepak / Datuk Ong Kim Swee gugurkan 5 pemain dari senarai awal skuad ke Sukan SEA Filipina

Datuk Ong Kim Swee gugurkan 5 pemain dari senarai awal skuad ke Sukan SEA Filipina

Pengendali skuad bola sepak kebangsaan Datuk Ong Kim Swee mengumumkan pengguguran lima pemain pada fasa pertama pengecilan pasukan bagi skuad bola sepak Sukan SEA.

Lima pemain itu terdiri daripada Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC), Amirul Ashraf Ariffin (Selangor), A Shivan Pillay (PKNS FC), Nik Azli Nik Alias (Kelantan) dan Haziq Subri (Perak).

Keputusan menggugurkan lima pemain kebangsaan dibuat selepas aksi persahabatan menentang PJ City di Stadium Arena MPSJ Subang Jaya.

Dalam perlawanan persahabatan menentang PJ City, Malaysia mendahului pada babak pertama menerusi Nik Akif Syahiran pada minit keenam dan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-26.

Bintang muda skuad Malaysia B-18, Luqman Hakim membuktikan kemampuannya dengan menambah dua lagi gol minit ke-73 dan ke-80 sekaligus memberikan kemenangan 4-0 kepada pasukan negara.

Datuk Ong Kim Swee sebelum ini memanggil 29 pemain bagi menyertai kem latihan pusat yang bermula pada 4 November lalu dan kini skuad negara memiliki 24 pemain tidak termasuk beberapa lagi pemain lebih umur yang akan melapor diri selepas aksi Harimau Malaya menentang Indonesia Selasa depan.

Datuk Ong dijangka mengumumkan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA pada 22 November iaitu sehari sebelum skuad kebangsaan berlepas ke Manila.