Home / Lain - Lain / DATUK MEGAT D SHAHRIMAN TINGGALKAN MASCA

DATUK MEGAT D SHAHRIMAN TINGGALKAN MASCA

Selepas dihimpit dengan pelbagai pertuduhan sehingga usul undi tidak percaya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin hari ini tampil memberi penjelasan disamping mempertahankan dirinya selaku presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Bagi Datuk Seri Megat niatnya hanya untuk memperkemaskan kembali pengurusan persatuan dan tetap meneruskan keputusan untuk mengundurkan diri bagi memberi fokus kepada misi yang lebih besar iaitu Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Sejak terpillih menjadi presiden pada November 2018 pelbagai usaha dilakukan Datuk Seri Megat dalam memartabatkan sukan kanu di negara ini.

Namun ramai dalam kalangan ahli jawatankuasa MASCA bagai tidak dapat menerima kehadirannya walaupun beliau turut mengorbankan wang sendiri bagi membolehkan persatuan menjalankan aktiviti.

Paling dikesalkan ketika pemilihan atlet ke Sukan SEA 2019 senarai atlet yang mewakili negara langsung tidak melaluinya malah beberapa ahli jawatankuasa MASCA pula membuat undi tidak percaya terhadap dirinya.

Tambah Datuk Seri Megat ketika ini MASCA sedang menjalani proses audit bermakna segala perjalanan keluar masuk wang persatuan sejak 2017 akan diketahui secara terperinci.

Proses audit dijangka selesai selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina penghujung Januari nanti.