Home / Lain - Lain / DATUK MEGAT D SHAHRIMAN SAH KEMUDI MAJLIS PARALIMPIK MALAYSIA

DATUK MEGAT D SHAHRIMAN SAH KEMUDI MAJLIS PARALIMPIK MALAYSIA

Datuk Megat D Shahriman memperolehi majoriti 19 undi bagi mengesahkan statusnya sebagai presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) walaupun tanpa tentangan daripada mana-mana individu lain.

Memang penantian yang berbaloi buat Datuk Megat D Shahriman dengan pengesahannya sebagai presiden Majlis Paralimpik Malaysia yang baru selepas situasi pemilihan yang sepatutnya dijalankan pada 29 Jun lalu ditunda berikutan isu pencalonan dan segalanya telah selesai.

Fokus kini boleh diberikan sepenuhnya kepada persiapan kontinjen negara kepada Sukan Para Asian di Filipina Januari tahun depan.

Turut menang tanpa bertanding Dr. Radha Krishna a/l Sinnathamby (15 undi) bagi jawatan timbalan presiden.

Pada mesyuarat agong tahunan MPM hanya dua jawatan dipertandingkan iaitu naib presiden dan setiausaha agong.

Presiden Persatuan Tenis Kerusi Roda Mohd Ikbal Sulaiman menerima undian terbesar sebanyak 23 undi. Diikuti Hafizah Nurhafiz dan Kim Rajendran mengisi tiga kerusi naib presiden.

Sementara Datuk S.Subramaniam mengatasi Irene Chang selaku setiausaha agong MPM.

Dalam pada itu Datuk Megat turut memaklumkan dia sudah mempunyai perancangan untuk dibincangkan bersama jawatankuasa baru MPM.

Mengenai statusnya dengan persatuan sukan lain, Datuk Seri Megat sudah menyatakan hasrat untuk melepaskan beberapa jawatan yang telah disandangnya..

Pucuk pimpinan baru ini akan menguruskan MPM bagi penggal 2019/2023.