Home / Lain - Lain / #CUBPRIXAAM : Kategori CP150 beri Era Baru Sukan Permotoran !

#CUBPRIXAAM : Kategori CP150 beri Era Baru Sukan Permotoran !

YM Tunku & Ron Hogg

Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia, (AAM), Tunku Mudzaffar Tunku Mustafa semasa sidang media pelancaran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017, di Melaka. Gambar Shazli Shamsuddin / AAM

Melaka, 21 Februari 2017 – Saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS – Musim ke-24 memasuki era baharu apabila perlumbaan kelas perdana CP130 kini digantikan dengan perlumbaan kategori CP150 yang menggunakan jentera lebih berteknologi dan berkuasa bermula musim 2017.

Sejak diumumkan pada tahun 2016, kategori baharu ini mendapat sambutan positif daripada pasukan-pasukan, pelumba-pelumba dan juga peminat-peminat sukan permotoran negara.

Aksi pelumba C150 sewaktu ujian jentera baru mereka. Shazli Shamsudin / AAM

Aksi pelumba C150 sewaktu ujian jentera baru mereka. Shazli Shamsudin / AAM

“Pasukan-pasukan yang bertanding dalam kategori ini cukup teruja menghadapi cabaran baharu dan penggunaan teknologi terkini terutama dengan sistem suntikan bahan api (Injection) dan Unit Kawalan Elektronik (ECU) dalam kerja pengubahsuaian jentera underbone atau moped yang menggunakan perincian komputer,” jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, di majlis pelancaran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017, di Melaka, hari ini,

“Memandangkan kategori CP150 baharu diperkenalkan, pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba memerlukan masa untuk mendapatkan kuasa jentera ke tahap optimum manakala peraturan teknikal perlumbaan ketika ini juga akan terus dipertingkatkan dan diperbaharui pada masa akan datang untuk memastikan perlumbaan ini terus kompetitif.

Mengulas lanjut tentang kategori CP150, Ron berkata, “Sejak Kejuaraan Cub Prix dilangsungkan pada tahun 1994, siri perlumbaan terbesar negara ini bukan sahaja pentas untuk melahirkan pelumba berbakat negara, sebaliknya turut menjadi nadi penting buat pengeluar-pengeluar motosikal seperti Honda, Yamaha, dan Modenas untuk mempromosikan dan memasarkan produk-produk motosikal mereka.

Pelumba kategori CP150, Zaqhwan Zaidi berbincang bersama pasukan sewaktu ujian jentera CP150 di Melaka. Gambar Shazli Shamsudin / AAM

Pelumba kategori CP150, Zaqhwan Zaidi berbincang bersama pasukan sewaktu ujian jentera CP150 di Melaka. Gambar Shazli Shamsudin / AAM

“Kejuaraan Cub Prix perlu bergerak seiring dengan kemajuan dan perubahan dalam teknologi motosikal sejak dari era jentera dua lejang sehingga ke era 4-lejang pada hari ini. Jika pada tahun ini pasukan hanya menggunakan jentera Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR, pada masa akan datang kita harap akan turut disertai pelbagai jenama lain yang khabarnya turut berminat mengeluarkan motosikal berkuasa 150cc.”

Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia, (AAM), Tunku Mudzaffar Tunku Mustafa turut menjangkakan perlumbaan kategori CP150 ini akan terus menghangatkan senario sukan permotoran negara.

“Saya mewakili badan induk sukan bermotor negara, AAM mengucapkan tahniah kepada pihak promoter, Safe Aim Mutual Sdn Bhd bersama penaja-penaja, pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba serta pihak terbabit yang terus bekerja keras bagi memartabatkan industri sukan permotoran negara. Saya lihat semua pasukan yang hadir menyertai sesi ujian pra-musim Cub Prix di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) ini sudah tidak sabar untuk memulakan saingan musim 2017 dan saya menjangkakan persaingan kali ini akan lebih sengit dan mendebarkan.

“Kami di pihak AAM mengharapkan agar industri sukan permotoran negara akan terus berkembang dalam usaha kita untuk melahirkan lebih ramai juara. Benua Asia telah kita tawan, tidak mustahil satu hari nanti untuk melihat juara dunia dari Malaysia akan tercapai.”