Home / Lain - Lain / #CUBPRIX – KASMA BERAKSI DI CEV DAN CUB PRIX

#CUBPRIX – KASMA BERAKSI DI CEV DAN CUB PRIX

Aksi Kasma sewaktu sesi ujian pra musim di Melaka. Gambar © Cubprix AAM

Aksi Kasma sewaktu sesi ujian pra musim di Melaka. Gambar © Cubprix AAM

Tahun 2017 merupakan tahun yang sibuk buat bintang Cub Prix, Kasma Daniel Kasmayuddin dalam usahanya untuk mempertahankan gelaran juara kebangsaan dan pada masa sama bakal melangkah ke saingan antarabangsa Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV.

Menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, hujung minggu ini, pelumba berusia 17 tahun dari pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor itu akan turun selaku juara kebangsaan dalam misi memburu gelaran juara pertama kelas CP150.

Dalam aksi saingan CEV Sepanyol, Kasma akan membawa cabaran pasukan yang dikenali PETRONAS Sprinta Racing di dalam kelas Moto3.

Kasma (kiri) berbincang bersama pengurus pasukan, Yong Yin Hoe. Gambar © Cubprix AAM

Kasma (kiri) berbincang bersama pengurus pasukan, Yong Yin Hoe. Gambar © Cubprix AAM

“Tahun 2016 merupakan tahun terbaik saya. Selain memenangi gelaran di dalam negara, saya juga mendapat pendedahan berguna di dalam kelas Asia Production 250cc Kejuaraan Motosikal Asia. Aksi cemerlang di saingan Asia membolehkan saya menerima peluang menjalani latihan di Akademi VR46 sebanyak dua kali,” jelas pelumba kelahiran Johor itu.

“Saya jangkakan tahun ini merupakan tahun yang agak mencabar. Di Cub Prix, buat pertama kali kami akan beraksi dalam kategori CP150 manakala ini juga merupakan aksi pertama saya menggunakan jentera Moto3. Saya masih dalam proses pembelajaran namun akan cuba sedaya upaya untuk cepat menyesuaikan diri.”

Selain Kasma, antara bintang Cub Prix yang pernah beraksi dalam dua kejuaraan serentak di Sepanyol dan di dalam negara ialah Khairul Idham Pawi pada tahun 2015.