Home / Golf / #CIMBClassic2016 : Gavin rebut tempat beraksi di Jelajah PGA

#CIMBClassic2016 : Gavin rebut tempat beraksi di Jelajah PGA

Gavin Green memenangi Kejohanan Kelayakan Sapura Kecana 2016. ©AsianTour

Gavin Green memenangi Kejohanan Golf Sapura Kencana – Kelayakkan Kebangsaan CIMB Classic 2016. ©AsianTour

KUALA LUMPUR 22 September 2016 : Pemain golf muda negara, Gavin Kyle Green mengesahkan tempat untuk beraksih di Kejohanan Jelajah PGA CIMB Classic pada Oktober depan apabila menjuarai Kejohanan Golf Sapura Kencana – Kelayakkan Kebangsaan Jelajah PGA CIMB Classic 2016 menerusi penentuan play-off di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini, hari ini. Penentuan play-off menerusi tambahan satu lubang menjadi pemisah selepas birdie di lubang ke-17 membolehkan Gavin menyamai catatan empat bawah par 212 yang dilakukan juara bertahan, Ben Leong, sekali gus mengheret ke perhitungan terakhir itu.

Kemenangan itu membolehkan Gavin menerima wang tunai RM22,000, serta melayakkannya beraksi buat kali pertama dalam saingan Jelajah PGA di CIMB Classic dari 20-23 Okt depan. Berikutan hanya dua slot disediakan untuk pemain negara di CIMB Classic, seorang lagi pemain akan dipilih berdasarkan ranking dunia pada 11 Okt depan.

Gavin, pendahulu bersama dengan Leong dan Khor Kheng Hwai selepas terikat dengan catatan tiga bawah par 141 pada pusingan kedua semalam, bermula baik dengan melakukan birdie di lubang ketiga, kelima dan 10 tetapi mencicirkan kelebihan apabila mencatat bogey di lubang ke-13, 15 dan 16. Pemain itu kemudian berjaya menyamakan catatan Leong apabila melakukan birdie di lubang ke-17, dibantu dengan kesilapan Leong yang mencatat bogey di lubang keempat dan double bogey di lubang ke-13. Leong yang menduduki tempat kedua pulang dengan RM14,500 manakala Khor sekadar tempat ketiga dengan tiga bawah par 213, diikuti Low Khai Jei di kedudukan keempat dengan tiga atas par 219.

Gavin berkata beliau tidak menjangka pemain berpengalaman seperti Leong akan melakukan kesilapan di lubang terakhir yang membolehkannya mengheret aksi itu ditentukan dengan penentuan play-off. “Saya mendapat peluang kedua apabila melakukan birdie di lubang ke-17… saya banyak terlepas peluang melakukan birdie pada awal permainan tetapi mujur ia menjadi pada detik yang diharapkan. Birdie itu cukup penting untuk membolehkan saya muncul juara. “Persembahan saya dalam tiga hari kejohanan ini amat melegakan dan peluang beraksi dalam Jelajah PGA adalah transformasi penting dalam karier saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.

KEDUDUKAN AKHIR
212 – Gavin Kyle Green (68-73-71), Ben Leong (69-72-71);

213 – Khor Kheng Hwai (70-71-72); 219 – Low Khai Jei (76-70-73);

220 – Mohd Sukree Othman (75-74-71);

221 – R.Nachimuthu (72-77-72), Mohd Zur’ie Harun (70-76-75);

222 – Shahrifuddin Ariffin (76-74-72), Lam Yu Shuen(75-75-72), Mohd Rizal Mohd Amin (74-73-75);

(Nota: Gavin muncul juara menerusi penentuan play-off) – BERNAMA