Home / Bola Sepak / CIMB TAJA LIGA SUPER DAN PIALA SUMBANGSIH

CIMB TAJA LIGA SUPER DAN PIALA SUMBANGSIH

CIMB Group Holding Berhad (CIMB) meluaskan lagi penajaan dalam arena sukan tempatan dengan menandatangani perjanjian penajaan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penaja utama bagi saingan Liga Super dan Piala Sumbangsih bagi musim 2020.

Penajaan dua tahun sehingga musim 2021 ini secara tidak langsung menyemarakkan lagi keghairahan peminat bola sepak tempatan dan memberi nilai tambah kepada Liga Malaysia.

Majlis menandatangani penajaan diwakili Ketua Pegawai Strategik Kumpulan CIMB Guldip Singh Sindhu dan pemangku Ketua Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan.

Turut hadir menyaksikan penajaan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz Ketua Pegawai Eksekutif CIMB dan presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Penglibatan CIMB tidak asing dalam sukan tempatan dengan penajaan dalam sukan skuasy dan basikal trek dan buat pertama kalinya CIMB mengorak langkah dalam arena bola sepak menjadi penaja Liga Super dan Piala Sumbangsih.

Menerusi penajaan ini ia akan dikenali sebagai CIMB Liga Super Malaysia dan CIMB Piala Sumbangsih yang akan membuka tirai pada 28 Februari ini menerusi perlawanan diantara JDT menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim Nusajaya Johor.

Dalam pada itu presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin positif lebih banyak penajaan akan menyusul selepas ini untuk Liga Malaysia.

Bagaimanapun FAM dan MFL kekal untuk tidak menyatakan jumlah penajaan bagi menghormati syarat bersama.