Home / Bola Sepak / CIMB LIGA MALAYSIA 2020 | RANGKUMAN PERLAWANAN UTAMA LS4

CIMB LIGA MALAYSIA 2020 | RANGKUMAN PERLAWANAN UTAMA LS4

Di Stadium Sultan Ibrahim JDT menentang FELDA United dengan skuad Harimau Selatan tampil dengan dominasi awal menyaksikan percubaan Diogo Luis Santos tersasar.

Minit ke-21 JDT akhirnya mendahului selepas Syafiq Ahmad menyudahkan hantaran Matthew Davis.

Selepas rehat corak berbeza ditampilkan Felda United dan menerusi gerakan yang dicipta pada minit ke-51 akhirnya membuahkan hasil apabila lorongan disebelah kiri pintu gol JDT berjaya disudahkan oleh Frederic Bulot untuk mengikat 1-1.

Tiga minit berselang FELDA hampir menggandakan jaringan namun percubaan Velez berjaya diselamatkan Farizal Marlias.

Minit ke-60 JDT meraih peluang keemasan selepas dihadiahkan sepakan penalti. Bagaimanapun sepakan Gonzalo Gabrera berjaya ditepis keluar penjaga gol FELDA Muhd Muhaimin.

Kekal tamat sepenuh masa dengan kedudukan 1-1, JDT akur dengan keputusan seri kali pertama dan FELDA tetap ceria dapat mencuri satu mata berharga digelanggang lawan.

Di Stadium Likas, Perak terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengikat Sabah dengan keputusan seri 2-2.

Seawal minit ke-5 Sabah sudah di hadapan selepas sepakan percuma cantik dari Azzizan Nordin terus menerjah gawang Perak.

Bagaimanapun kedudukan kembali seimbang apabila Shahrel Fikri Mohd Fauzi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-17.

Minit ke-27 Perak sekali lagi dikejutkan dengan jaringan Sabah kali ini menerusi Guy Gnabouyou.

Gawang Perak terus diasak Sabah selepas itu namun ketangkasan penjaga gol Nasrullah Abd Aziz dan benteng pertahanan The Bos Gaurus terus kental bertahan.

Bersambung selepas rehat giliran Perak pula menyerang dan minit ke-79 Shahrel Fikri sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua peribadi dengan keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka United gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tewas 1-0 kepada Pahang.

Beraksi dalam padang basah akibat cuaca hujan, tiada gol dapat dihasilkan sepanjang babak pertama.

Babak kedua Pahang berjaya mengejutkan tuan rumah apabila Dickson Nwakaeme berjaya mencipta jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-67.

Kemenangan 1-0 jelas menceriakan Pahang untuk melonjakkan diri ke tangga keempat liga hasil dua kemenangan berturut-turut.