Home / Badminton / BWF MENGESAHKAN KEJOHANAN PIALA THOMAS DAN UBER 2020 DITUNDA

BWF MENGESAHKAN KEJOHANAN PIALA THOMAS DAN UBER 2020 DITUNDA

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan saingan Piala Thomas dan Uber di Aahus Denmark ditunda.

Menerusi satu kenyataan media badan induk itu mengesahkan kejohanan berprestij berkenaan terpaksa ditunda selepas mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan penuh dengan tuan rumah Denmark.

Dalam kenyataan itu juga BWF mengakui keputusan menunda saingan Piala Thomas dan Uber 2020 merupakan satu keputusan yang sukar.

Ianya hadir selepas lima negara Australia, Taiwan, Thailand, Korea Selatan dan Indonesia menarik diri daripada menyertai saingan kali ini termasuk jelajah dunia di eropah.

Beberapa bulan sebelum ini BWF sedaya upaya mahu meneruskan saingan Piala Thomas dan Uber dari 3 hingga 11 Oktober depan dengan mewujudkan ekosistem badminton yang selamat.

Memandangkan perkembangan Covid-19 di seluruh dunia dan sebilangan pasukan serta pemain memilih untuk melakukan perjalanan ke Denmark menyebabkan BWF akur dengan segala keputusan yang telah dibuat.

Setakat ini BWF sedang mengenalpasti tarikh alternative bagi penjadualan semula kejohanan pasukan lelaki dan wanita dunia ini tetapi pada tarikh tidak melebihi 2021.

Dalam pada itu juga BWF turut mengesahkan Terbuka Denmark yang menjadi salah satu jelajah BWF akan tetap diteruskan seperti dirancang dari 13 hingga 18 Oktober 2020.

BWF akan menggunakan kejohanan itu untuk melaksanakan protokol keselamatan dan SOP yang relevan untuk memulakan semula pertandingan badminton di peringkat antarabangsa.

Satu kajian sedang dijalankan BWF bagi menjayakan tiga kejohanan jelajah dunia di Asia dan BWF akan membuat pengumuman lanjut sebaik selesai beberapa perincian.

Sementara itu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan badan itu tidak akan menghantar pemain ke Terbuka Denmark susulan penundaan saingan Piala Thomas dan Uber 2020 juga di Denmark.

Apa pun keputusan yang diambil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) nanti BAM akan tetap meneruskan kejohanan Piala Presiden yang dijadualkan berlangsung selama dua hari.

Kejohanan Piala Presiden sebelum ini dirangka BAM sebagai persediaan pemain lelaki dan wanita kebangsaan ke Piala Thomas dan Uber 2020.

Setakat ini mentaliti pemain tidak terjejas dan BAM percaya skuad negara akan tetap fokus menghadapi apa jua kejohanan termasuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Ini kali ketiga Piala Thomas dan Uber 2020 ditunda dengan kali pertama yang sepatutnya diadakan pada 16 hingga 25 Mei lalu. Disusuli 15 hingga 23 Ogos dan kemudian 3 hingga 11 Oktober.