Home / Lain - Lain / Bulan Sukan Negara 2019 bakal sasarkan 5 juta penyertaan

Bulan Sukan Negara 2019 bakal sasarkan 5 juta penyertaan

Pembabitan 5 juta rakyat Malaysia menjadi sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sempena Bulan Sukan Negara 2019.

Ia semestinya bukan satu misi mustahil dimana tempoh selama sebulan yang dirancang bakal mendapat penyertaan dari seluruh negara.

Bagi KBS sendiri bantuan dana akan diberikan kepada mana-mana pihak yang menganjurkan acara sukan sepanjang bulan Oktober ini.

Memang tidak dinafikan ia satu perkembangan positif selepas KBS memilih untuk menganjurkan Bulan Sukan Negara selama sebulan berbanding sehari seperti mana sebelum ini.

Dilancarkan oleh Syed Saddiq Syed Abd Rahman bermakna bermulalah program gaya hidup sihat yang mahu diterapkan kepada seluruh pelusuk negara menerusi penyertaan acara-acara sukan yang sudah dirancang untuk dijalankan.

“Bagi penganjuran program-program sukan peringkat nasional atau peringkat antarabangsa yang akan dianjurkan bersama dengan KBS akan diberikan suntikan dana khas untuk dianjurkan pada bulan Oktober.

Pada masa yang sama kita akan adakan konvensyen sukan yang akan membincangkan sukan berkaitan wanita dan industri sukan untuk memastikan industri sukan dapat berkembang sebaik mungkin dan kadar diskaun khas penyewaan infrasukan bawah kendalian KBS”, ujar Syed Saddiq.

Dengan lebih seribu acara sukan bakal dilangsungkan sepanjang bulan Oktober ini, KBS menjangkakan penyertaan lebih 5 juta rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam mana-mana acara sukan merangkumi sukan kecergasan dan rekreasi.

Acara utama sukan akan dilangsungkan pada 12 Oktober nanti bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed di Kuala Lumpur Sport City Bukit Jalil.