Home / Bola Sepak / BRAD MALONEY BERSEDIA DENGAN KETIADAAN LUQMAN

BRAD MALONEY BERSEDIA DENGAN KETIADAAN LUQMAN

Pemergian Luqman Hakim ke KV Kotrij turut menyaksikan jurulatih skuad bola sepak B19 tahun kebangsaan Brad Maloney kini bersedia dengan apa jua kemungkinan sekiranya Luqman tidak dapat menyertai sesi latihan terakhir September nanti.

Maloney memberi bayangan pemain kelahiran Kota Bahru itu akan terus tersenarai dalam 23 pemain ke Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Uzbekistan nanti.

“Sebenarnya saya sudah membincangkan perkara ini dengan pemain sebelum sidang media. Apa yang kami bincangkan adalah Luqman Hakim perlu fokus kepada kelabnya dan kami akan terus berbincang mengenai perkara ini.

Senario terbaik ketika ini adalah kami mungkin akan membuat persiapan di Uzbekistan atau di negara Timur Tengah lain. Ianya lebih relevan untuk dia menyertai pasukan di sana berbanding pulang ke Malaysia”, ujar Brad Maloney.

Apapun bayangan yang cuba disampaikan Maloney yang tetap percaya Luqman akan menyertai skuad negara ke Kejuaran AFC B19 di Uzbekistan Oktober depan.

Ketika ini pemain yang berusia 18 tahun itu masih menjalani latihan seperti biasa bersama skuad kebangsaan sebelum dijadual berlepas ke Belgium minggu hadapan.

Dalam pada itu ketiadaan Luqman Hakim pastinya membuka peluang buat beberapa pemain lain memikat hati jurulatih Brad Maloney.

Antara nama yang menyinar dalam sesi latihan ketika ini adalah Muhammad Amirul Akmal Safarinizam yang turut bermain di posisi penyerang.

Beliau mempunyai cita-cita untuk beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol Real Madrid satu hari nanti.

Pemain kelahiran Sungai Petani itu sedia merebut tempat ke Kejuaraan AFC di Uzbekistan Oktober depan.

Sesi latihan fasa dua ini dijadual berakhir pada 30 Ogos dan sesi yang terakhir akan bersambung September depan.

Setakat pemerhatian awal, hanya dua pemain Luqman Hakim Samsuddin dan Wan Kuzri Wan Kamal hampir pasti berada dalam senarai akhir 23 pemain pilihan Maloney.