Home / Badminton / Beregu Emas terkandas di Suku Akhir

Beregu Emas terkandas di Suku Akhir

GUANGZHOU, 9 Ogos — Impian beregu emas negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong untuk beraksi di pentas final Kejohanan Badminton Dunia akhirnya berkecai apabila tewas kepada pasangan beregu dari Korea, Kim Ki Jung dan Kim Sa Rang pada peringkat suku akhir.

Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong
© Sukan Malaysia Online


Mempersembahkan aksi longlai dan terlalu bersahaja, Koo dan Tan tewas set pertama 15-21 dalam perlawanan yang mengambil masa 22minit.

Koo dan Tan kembali memberi tentangan pada set kedua perlawanan, namun beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh mereka, terus menjarakkan pungutan mata.

Ketika cuba memperkemaskan permainan, pasangan Korea terus mengasak dengan mempamirkan permainan menyerang dan bertahan. 

Impian beregu Malaysia terus berkecai apabila pasangan Korea lebih dahulu mendapat mata ke 20 sebelum dengan mudah menamatkan perlawanan set kedua dengan mata 21-16 dalam masa 20 minit.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu, Koo berkata mereka telah berusaha bersungguh-sungguh pada kejohanan itu dan terserah kepada kepimpinan BAM bagi menentukan nasib mereka.

“Memang saya masih mahu meneruskan gandingan ini tetapi terpulang kepada BAM untuk membuat keputusan mengenai gandingan kami”

“Kami memang bersedia untuk kejohanan ini dan sudah melakukan apa yang terbaik tetapi kami gagal,” katanya.

Koo yang kelihatan kecewa turut melepaskan perasaan tersuratnya terhadap sikap peminat tempatan yang sering mengkritik mereka apabila gagal mencapai keputusan yang cemerlang pada sesuatu pertandingan terutama membabitkan kejohanan besar sedangkan mereka telah berusaha sedaya upaya.

“Kalau boleh, saya rasa macam mahu bermain untuk China sahaja…sama ada menang atau kalah mereka terus beri sokongan. Saya rasa kecewa, apabila kami meraih kejuaraan tidak ramai yang ucap tahniah tetapi bila kami kalah, ramai yang kritik,” katanya.

Tan Boon Heong turut melahirkan rasa kecewa kerana gagal meneruskan kemaraan kerana mereka turut meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan edisi kali ini.

“Tiada apa yang boleh saya katakan. Biar BAM yang tentukan nasib kami,” katanya yang turut mengharapkan agar gandingannya bersama Koo dikekalkan.

Tanpa ingin memberikan alasan tidak berapa sihat, Tan akur bahawa kesilapan mengatur strategi perlawanan kepada bertahan menyebabkan mereka gagal mengekang kemaraan beregu dari Korea seterusnya meneruskan rentetan kisah kekalahan mereka. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*