Home / Lain - Lain / BELANJAWAN 2021 TERUS MEMPERKASAKAN SEKTOR SUKAN

BELANJAWAN 2021 TERUS MEMPERKASAKAN SEKTOR SUKAN

Sektor sukan terus mendapat perhatian dalam bajet negara bagi tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM225 juta yang terbahagi kepada beberapa pecahan.

Antara yang mendapat keutamaan adalah pembangunan sukan berprestasi tinggi dan sukan elektronik selain bantuan pinjaman mudah kepada operator fasiliti sukan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagi sukan berprestasi tinggi kerajaan akan menyediakan RM55 juta untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita dan termasuk RM15 juta kepada pembangunan sukan elektronik.

Bagi membantu pengusaha industri sukan RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah dibawah Skim Tekun Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.

Dalam pada itu juga kerajaan memperuntukan RM19 juta bagi melaksanakan Agenda Malaysia Sihat bagi memantapkan gaya hidup sihat.

Sebanyak RM28 juta juga disediakan untuk melaksanakan program MyFIT, Hari Sukan Negara dan Inspire bagi komuniti OKU.

Baki RM103 juta disediakan bagi membina, menaiktarah dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara.

Dalam situasi sukan pandemik Covid-19 yang merencatkan perkembangan sukan tanahair ketika ini menyaksikan perutukan sukan pada Belanjawan 2021 dilihat cukup prihatin bagi meneruskan kelangsungan industri sukan negara.

Ia meliputi hampir semua aspek dan yang paling utama sudah pasti prestasi pembangunan sukan prestasi tinggi.

Hoki, ragbi, badminton dan berbasikal adalah sukan berprestasi tinggi yang menerima peruntukan sebanyak RM55 juta dan ini paling penting kerana ia akan terus menjana pembangunan sukan-sukan utama negara di peringkat akar umbi.

Keprihatinan kerajaan juga terserlah dengan penambahan pengecualian cukai pendapatan sebanyak RM500 bagi pembelian barangan sukan daripada RM2,500 kepada RM300 sekaligus menjana minat orang ramai untuk terus menggiatkan aktiviti sukan untuk kesihatan.

Dalam pada itu timbul nada kelegaan bagi operator-operator sukan bagi meneruskan kelangsungan operasi perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Skim pinjaman mudah Tekun Sukan yang diumumkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos operasi yang dihadapi walaupun tiada jaminan status pinjaman ini berikutan risiko pembayaran semula sekiranya penutupan operasi berterusan dalam jangka masa lama.

Sementara itu persatuan-persatuan sukan yang telah direncanakan pada Belanjawan 2021 ini menyambut baik peruntukan yang bakal diterima dari kerajaan.

Di pihak Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ia hadir tepat pada masanya ketika program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) sudah mula digerakkan di peringkat nasional.

Begitu juga dengan Ragbi Malaysia (MR) lebih-lebih lagi ketika sukan ragbi sedang berkembang pesat dalam negera menerusi beberapa agenda utama.

Paling dinantikan adalah pembinaan stadium ragbi negara di Putrajaya selain dari persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi kempen kejohanan ragbi Asia (ARC) yang ditunda ke tahun hadapan.

Angka RM15 juta yang diperuntukan buat sukan elektronik terus memberikan gambaran sokongan tinggi kerajaan terhadap sukan era baharu ini.