Home / Badminton / BAM UMUMKAN STUKTUR BAHARU KEJURULATIHAN

BAM UMUMKAN STUKTUR BAHARU KEJURULATIHAN

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pengstrukturan semula bagi skuad senior dalam usaha memastikan kem badminton negara terus berdaya saing sebagai persediaan dua kejohanan utama Piala Thomas dan Piala Uber serta Sukan Olimpik Tokyo.

Dua tenaga pengajar baharu berpengalaman turut dibawa masuk iaitu bekas jaguh badminton Malaysia dan Indonesia Chan Chong Ming dan Flandy Limpele.

Rombakan baharu kejurulatihan dijelaskan Presiden BAM Datuk Seri Mohd Norza Zakaria menerusi satu kenyataan media menyaksikan Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock kembali bergandingan bagi memantapkan pemain-pemain perseorangan lelaki dengan Hendrawan selaku ketua jurulatih.

BAM percaya kombinasi Hendra-Seu Bock dapat membantu meningkatkan pemain-pemain seperti Lee Tzi Jia seperti mana yang mereka lakukan kepada Datuk Lee Chong Wei sebelum ini.

Pertukaran ini juga menyaksikan pembantu Hendrawan Indra Widjaja dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita dengan dibantu oleh Loh Wei Sheng sebagai penolong jurulatih.

Ini merupakan saat yang cukup tepat kerana sememangnya pemain-pemain perseorangan wanita memerlukan angin baharu berikutan prestasi hambar kebelakangan ini.

Skuad beregu lelaki pula akan menerima sentuhan jurulatih baharu Flandy Lempele dari Indonesia yang dibawa masuk bagi menajamkan pemain.

Pengalaman Flandy yang berjaya menaikkan pemain-pemain beregu India ketika bertindak selaku jurulatih di sana sebelum ini amat ditagih dan BAM menganggap pemenang pingat sukan olimpik itu cukup memiliki posisi cemerlang di posisi ini.

Flandy akan dibantu Rosman Razak dan Hoo Tien How dalam tugasan yang mencabar.

Juga menerima sentuhan jurulatih baharu yang dibawa masuk adalah skuad beregu wanita yang akan dikendalikan oleh bekas pemain beregu negara Chan Chong Ming.

Chan Chong Ming akan dibantu oleh Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty selaku penolong jurulatih yang sudah masak mengendali beregu wanita kebangsaan.

Kehadiran Flandy menyebabkan seorang lagi jurulatih dari Indonesia Paulus Firman diberi tugasan baharu iaitu mengemudi skuad beregu campuran sambil dibantu oleh Teo Kok Siang bagi membantu beregu campuran yang mula menampakkan penurunan mementum.