Home / Badminton / BAM KELUARKAN SENARAI SKUAD PIALA THOMAS DAN UBER KE AARHUZ DENMARK

BAM KELUARKAN SENARAI SKUAD PIALA THOMAS DAN UBER KE AARHUZ DENMARK

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengeluarkan senarai pemain bagi Piala Thomas dan Uber di Aarhuz Denmark bermula 3 Oktober depan.

Seperti dijangka BAM menyenaraikan sebahagian besar pemain muda yang memiliki prestasi semasa yang baik apatah lagi ada pemain yang berpengalaman memohon pengecualian daripada tugasan pada kali ini berikutan memiliki komitmen peribadi.

Perseorangan lelaki utama ketika ini Lee Zii Jia menepati jangkaan akan mengetuai senarai empat pemain yang disenaraikan BAM.

Turut berada dalam skuad adalah pemain profesional Liew Daren, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao yang merupakan pemain muda yang menunjukkan prestasi hebat pada kejohanan Terbuka BAM yang diadakan baru-baru ini.

Beregu pengalaman Goh V Shem menolak peluang yang diberikan BAM berikutan komitmen peribadi yang tidak dapat dielakkan menyaksikan cabaran beregu diletakkan sepenuhnya kepada gandingan Aaron Chia / Soh Wooi Yik serta Teo Ee Yi / Ong Yew Sim yang terbukti mampu menyengat di pentas utama selain penampilan beregu muda Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani.

Senarai pemain Piala Thomas ini sememangnya adalah antara yang terbaik dimiliki negara buat waktu ini dan diharap mampu melakar kejayaan bermula dengan saingan peringkat kumpulan kelak.

Skuad Piala Thomas negara berada dalam kumpulan A bersama Indonesia, England dan Belanda dengan Indonesia dikhabarkan bakal memberi laluan sukar buat skuad negara.

Bagi skuad Piala Uber pula BAM menyenaraikan gandingan pemain baharu dan berpengalaman bagi mengimbangkan kekuatan pasukan.

Bagi acara perseorangan pemain senior Soniia Cheah menggalas tugas selaku pemain utama.

S.Kisona diletakkan sebagai pemain kedua diikuti Goh Jin Wei dan Eoon Qi Xuan.

Sekali pun tahap kecergasan Jin Wei masih menimbulkan pertanyaan sekurang-kurangnya kehadiran pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 itu akan tetap menambah sengat dalam acara ini.

Bagi acara beregu pula edisi kali ini memberi cabaran yang cukup besar buat Chow Mei Kuan / Lee Meng Yean yang akan memikul tugas sebagai beregu utama.

Pemain lebih berpengalaman Vivian Ho akan bertindak sebagai beregu kedua bersama Yap Cheng Wen sementara Pearly Tan / M.Thinaah dipilih sebagai beregu ketiga.

Skuad wanita dilihat berdepan dengan laluan yang cukup sukar dan memerlukan keajaiban untuk melepasi kumpulan B Piala Uber.

Selain Malaysia dua pasukan Gergasi Korea Selatan dan Indonesia selain Australia turut berada dalam kumpulan yang sama.