Home / Badminton / BAM AKAN BEKERJASAMA DENGAN BWF BAGI MEMASTIKAN DENMARK MENYEDIAKAN PERSEKITARAN YANG BEBAS COVID-19 SEMPENA KEJOHANAN PIALA THOMAS DAN UBER

BAM AKAN BEKERJASAMA DENGAN BWF BAGI MEMASTIKAN DENMARK MENYEDIAKAN PERSEKITARAN YANG BEBAS COVID-19 SEMPENA KEJOHANAN PIALA THOMAS DAN UBER

Aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat mengiringi penyertaan pasukan negara yang akan mengambil bahagian dalam saingan Piala Thomas dan Uber awal Oktober nanti.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berusaha sedaya upaya meredakan kebimbangan jangkitan Coronavirus dalam kalangan pemain dengan meminta kerjasama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan tuan rumah Denmark menyediakan persekitaran bebas Covid-19 sepanjang pertandingan.

Pasukan badminton negara hanya berbaki kurang 5 minggu akan menyertai Piala Thomas dan Uber di Arhuz Denmark.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini sedang berusaha memastikan suasana pertandingan yang selamat untuk wakil negara memandangkan Covid-19 masih menular di serata dunia termasuklah tuan rumah.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membantu berurusan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BAM sentiasa berhubung dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan penganjur Denmark.

Kem negara tidak berselindung wujud kebimbangan apabila bertanding nanti justeru BAM memohon tuan rumah menyediakan persekitaran bebas Covid-19 demi keselamatan semua yang terlibat.

Ia tentunya merangkumi pelbagai aspek antaranya pengangkutan, hotel, makanan dan lokasi pertandingan.

Sementara itu Taiwan mengesahkan menarik diri daripada Piala Thomas dan Uber yang dijadual berlangsung 3 hingga 11 Oktober ini.

Segala isu dan kebimbangan perlu diatasi barisan kejurulatihan dan pemain demi memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

Pasukan negara akan mengadakan kem motivasi bermula Khamis hingga Ahad di Pulau Tioman bagi memupuk semangat dan fokus kepada tugasan kali ini.

Ketika ini kem latihan dan pemilihan disertai 26 orang yang menggabungkan pemain kebangsaan dan professional.

Senarai akhir yang bakal membawa cabaran negara dalam kedua-dua saingan dijangka diketahui sebelum tarikh pendaftaran pasukan 18 September ini.