Home / Bola Sepak / Baddrol Bakthiar Pemain Bolasepak Paling Bernilai 2017

Baddrol Bakthiar Pemain Bolasepak Paling Bernilai 2017

Baddrol Bakthiar – Pemain Bolasepak Paling Bernilai. Gambar oleh Zaid Ayid / SukanMalaysiaDotMY

KUALA LUMPUR 22 Disember 2017 : Pemain tengah skuad Kedah, Baddrol Bakhtiar dinobatkan Pemain Paling Bernilai bagi musim 2017 dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan tahun ini.

Baddrol,  turut membawa pulang anugerah Pemain Tengah Terbaik serta Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super musim ini dengan menyumbat sembilan gol.

Pengiktirafan yang diterima pemain berusia 29 tahun itu susulan kejayaannya membantu Helang Merah merangkul Piala Sumbangsih dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) selain muncul juara Piala FA dengan menundukkan Pahang.

Guillherme de Paula bersama anugerah Penjaring Gol Terbanyak Liga Perdana 2017. Gambar oleh Zaid Ayid / SukanMalaysiaDotMY

Tidak cukup dengan kejayaan Baddrol itu, pasukan Kedah juga mendominasi dua lagi anugerah apabila penjaga golnya, Ifwat Akmal Chek Kassim dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala perancang tengah dari Kosovo, Liridon Krasniqi dinobatkan Pemain Import Terbaik.

Kedah terus mendominasi majlis anugerah itu apabila turut meraih tiga anugerah sampingan iaitu Penyokong Terbaik, Pasukan Terbaik selain Krasniqi turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Popular musim ini.

“Saya bersyukur kepada Allah dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang selama ini menyokong perjalanan karier saya.

“Anugerah ini sudah pasti akan menjadi pemangkin semangat untuk saya memberikan aksi yang lebih baik pada masa akan datang,” ujar Badrol ketika ditemui selepas menerima anugerah.

Pasukan Kedah dilihat mendominasi senarai penerima anugerah apabila memenangi enam anugerah lain dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Baddrol Bakthiar diapit oleh Liridon Krasniqi dan Guillherme de Paula selepas menerima anugerah masing-masing. Gambar oleh Zaid Ayid / SukanMalaysiaDotMY

Sementara itu, pemain Selangor, Adam Nor Azlin dianugerahkan Pemain Muda Harapan manakala pemain Negeri Sembilan yang dipinjamkan kepada Felcra FC, N. Thanabalan mengondol Anugerah RTM Pemain Paling Mesra.

Juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaimana pun hanya memenangi satu anugerah menerusi Mohamad Ghaddar yang dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super (Import).

SENARAI PEMENANG ABK 2017

Pemain Paling Bernilai – Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penjaga Gol Terbaik – Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pertahanan Terbaik – Matthew Davies (Pahang)

Pemain Tengah Terbaik – Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penyerang Terbaik – Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC)

Pemain Import Terbaik – Liridon Krasniqi

Pemain Muda Harapan – Adam Nor Azlin (Selangor)

Jurulatih Terbaik – B Sathianathan (FELDA United)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super – Baddrol Bakhtiar

Penjaring Terbanyak Import Liga Super  – Mohammed Ghaddar

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana – Abdul Malik Mat Ariff (Kuantan FA)

Penjaring Terbanyak Import Liga Perdana – Guillherme de Paula (Kuala Lumpur)

Pemain Paling Popular – Liridon Krasniqi (Kedah)

Pemain Paling Mesra – N Thanabalan (FELCRA FC)

Anugerah Komuniti – Sunny Shalesh (Pan-Disability Football Malaysia)

Anugerah Fair Play – T-Team

Penyokong Terbaik – Kedah

Pasukan Bola Sepak Terbaik – Kedah

Laman Web Terbaik – Selangor

Laman Sosial Terbaik – Kedah