Home / Lain - Lain / Azizul pikul tanggungjawab berat buat negara di Sukan Olimpik selepas ketiadaan Lee Chong Wei

Azizul pikul tanggungjawab berat buat negara di Sukan Olimpik selepas ketiadaan Lee Chong Wei

Jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni Awang sahut cabaran untuk menjadi sandaran utama emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 berikutan persaraan Datuk Lee Chong Wei dari arena badminton antarabangsa.

“Saya melihatnya sebagai satu tanggungjawab besar buat diri saya dan juga sukan berbasikal Malaysia. Jadi saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan penuh untuk kami serta atlet-atlet lain yang akan beraksi pada Sukan Olimpik nanti untuk membawa pingat emas pertama negara”, ujar Azizulhasni.

Azizulhasni kini menduduki ranking keempat dunia dalam acara Keirin dilihat memiliki peluang untuk menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam temasya tersebut.

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hari ini mengumumkan untuk ‘menggantung raket’ selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Chong Wei menjelaskan, bahawa selepas menjalani pemeriksaan pada April lepas, doktor yang merawat beliau memintanya untuk terus berehat daripada menjalani latihan berat. Ia bagi mencegah kanser hidung yang dihadapinya menyerang kembali selepas mendapat nasihat doktor.

Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Beliau juga tiga kali muncul naib juara dunia bermula edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.