Home / Bola Sepak / Ayuh Harimau, Tunjukkan Belangmu!

Ayuh Harimau, Tunjukkan Belangmu!

Aksi pemain Harimau Malaya dalam pertemuan menentang Mongolia baru-baru ini. Gambar oleh Darren Liew © SukanMalaysiaDoTMY

Oleh Hisyam Rahman

Ahad 1 April 2018 bakal menjadi tarikh penting skuad negara menghapuskan badi tanpa kemenangan sebanyak 12 perlawanan.  Bhutan, lawan pasukan negara setelah Nepal menarik diri, adalah satu negara yang popular dengan sukan memanah, berpopulasi dalam 800 ribu dan berkedudukan ke 188 dalam ranking FIFA.  Dengan ranking kita yang jauh kebelakang, tidak banyak pilihan yang boleh dibuat oleh FAM bagi mendapatkan perlawanan persahabatan antarabangsa.  Suka atau tidak Bhutan adalah lawan yang Harimau Malaya akan hadapi nanti.

Setelah keputusan seri 2-2 dengan Mongolia seminggu yang lalu merentap hati peminat bolasepak negara, berbagai reaksi negatif dilemparkan kepada Harimau Malaya yang goyah apabila diasak secara fizikal oleh pasukan Mongolia.  Melihat kepada persembahan pemain yang dipilih mewakili negara dalam liga Super, yang mana mereka nampak hebat bersaing bukan sahaja dengan pemain tempatan malah pemain import yang keadaan fizikalnya lebih baik, sepatutnya mereka boleh beraksi cemerlang dan lebih bertenaga menyaingi pasukan seperti Mongolia.  Pastinya kemudahan tempat latihan kita pun jauh lebih baik dari pasukan yang berstatus semi pro seperti Mongolia, yang hanya hadir dengan 3 pegawai – seorang jurulatih, penolong Jurulatih dan Fisioterapi.
Sebaliknya yang dihidangkan dalam perlawanan itu adalah seperti ada elemen menjaga keadaan kecerdasan diri dan kurangnya semangat berjuang membawa nama negara.  Misi dan visi  pemain semasa bertemu Mongolia juga seakan tidak jelas, mereka seperti tidak nampak kepentingan kemenangan pada malam itu untuk pasukan negara.
Atas persembahan itu tidak banyak harapan diletakkan apabila Harimau Malaya bertemu Lubnan dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia.  Namun  dalam perlawanan dengan Lubnan, walaupun kemenangan tidak menyebelahi kita, keputusan 1-2 itu seakan satu sinar buat penyokong, gol kemenangan Lubnan yang terhasil hanya pada minit ke-94.  Pada hakikatnya penyokong merasakan kita akan dibelasah oleh pasukan lawan, apatah lagi dengan kehilangan 12 pemain ‘berstatus bintang’ dan bermain di tempat lawan.
Tanpa pemain bintang, tanpa diletakkan sebarang harapan,  apakah rahsia persembahan bertenaga yang dapat dilihat pada pemain negara ketika bertemu Lubnan?
Inilah buktinya jika wujud keinginan untuk menang, bermain dengan hati, bermain untuk negara dan memberikan segala-galanya  untuk negara.   Itu sebenarnya yang dimahukan oleh peminat.  Mereka mahu melihat bagaimana liciknya Akhyar Rashid menggelecek pertahanan lawan, bagaimana deras dan bersemangatnya Zaqhuan Adha tanpa rasa takut menembusi pertahanan lawan, bagaimana kentalnya Irfan Zakaria mematahkan serangan penyerang Lubnan.
Mereka yakin akan kemampuan setiap pemain negara dan segala yang dipersembahkan dalam liga kita bukan omong kosong.  Mereka telahpun melupakan pemain status bintang yang hanya menjaga kaki dari mencurahkan segalanya untuk negara.  Peminat juga mahukan jurulatih yang tidak tunduk kepada arahan pihak atasan dalam menentukan pemilihan pemain, peminat tidak mahu melihat pemain yang tidak beraksi dalam liga dan dengan masa permainan yang sedikit mendapat tempat dalam kesebelasan utama.  Peminat tidak mahu bercerita fasiliti yang hebat tetapi longlai apabila bertemu lawan yang serba kekurangan.  Yang peminat mahukan persembahan bertenaga dengan semangat juang yang tinggi membawa lencana didada.
Ayuh Harimau Malaya, serlahkan kekuatanmu!  Bermainlah dengan membawa kekuatan 31 juta rakyat Malaysia.  Harunginya bukan dalam bebanan tetapi sebagai amanah demi lencana di dada.   Sentiasalah berfikiran positif walau siapa lawanmu.  Kejayaan bukanlah milik  seseorang, tetapi  kejayaan adalah milik Allah.Jika kemenangan tidak dikurniakan oleh Allah pada pasukan kita, peminat masih lagi boleh menerima keadaan itu, kalah dengan semangat juang yang jiwa dan raganya diberikan pada pasukan negara.  Peminat memang faham bahawa kejayaan tidak datang bergolek, tetapi yang peminat mahukan bagaimana progres pasukan dari satu perlawanan ke satu perlawanan,  jika usaha yang gigih dan ikhlas insyaallah Allah akan kurniakan kemenangankepada pasukan kesayangan kita. Ayuh Bangkit Harimau Malaya.  Ayuh Harimau, Tunjukkan Belangmu!