Home / Badminton / ATLET, JURULATIH DAN PEGAWAI KHIDMAT SOKONGAN PROGRAM ROAD TO TOKYO NEGATIF SARINGAN COVID-19

ATLET, JURULATIH DAN PEGAWAI KHIDMAT SOKONGAN PROGRAM ROAD TO TOKYO NEGATIF SARINGAN COVID-19

Ujian saringan Covid-19 di kem latihan pusat Road To Tokyo (RTT) Akademi Badminton Malaysia mendapati kesemua 38 orang terdiri daripada atlet, jurulatih dan pegawai khidmat sokongan negatif daripada virus itu.

Keputusan yang diperolehi itu semestinya melegakan skuad badminton negara sebelum dibenarkan turun memulakan persiapan di gelanggang.

Mereka yang terbabit dengan program RTT yang bermula semalam perlu menjalani ujian swap Covid-19 terlebih dahulu. Keputusan bagi 24 orang bertempat di pusat perahu layar Langkawi dijangka diketahui esok.

Walaupun masih ada dua lagi ujian yang menanti namun semua yang terlibat tidak sabar untuk turun ke gelanggang selepas tiga bulan terpisah dan tidak dapat menjalani latihan yang sebenar.

Ini dianggap cabaran baharu memandangkan terpaksa mengikuti prosedur ketat namun akur semuanya demi keselamatan dan kesihatan mereka sendiri.

Cabaran kini terletak di bahu barisan kejurulatihan untuk menggilap semula pemain-pemain badminton kebangsaan.

Ianya diakui bukan tugas mudah kerana perlu menyesuaikan diri dengan susasana baharu beserta prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti termasuklah membabitkan perubahan kaedah latihan.

Sekembalinya pemain melapor diri di kem kebangsaan melegakan barisan kejurulatihan negara cuma program latihan perlu dinilai semula agar bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.

Kembalinya pemain ke gelanggan latihan penting bagi skuad negara tidak ketinggalan jauh apabila beberapa pasukan pencabar seperti China, Taiwan dan Indonesia sudah mula berlatih.

Program Road To Tokyo (RTT) yang bemula semalam juga sedikit sebanyak menjadi asas kepada persiapan pasukan Piala Thomas dan Uber negara yang dijadualkan bermula Oktober ini.