Home / Hoki / ARUL SELVARAJ BERI JAMINAN TIADA PILIH KASIH DALAM MEMBENTUK PASUKAN KEBANGSAAN

ARUL SELVARAJ BERI JAMINAN TIADA PILIH KASIH DALAM MEMBENTUK PASUKAN KEBANGSAAN

Pengendali baharu skuad hoki kebangsaan Arul Selvaraj beri jaminan tiada kelebihan buat pemain-pemain yang pernah dilatih ketika membimbing kelab UniKL sebaliknya pemilihan akan dibuat secara telus berdasarkan kemampuan pemain dengan senioriti bukan keutamaan.

Dengan tegas beliau ingin membentuk pasukan yang berlandaskan prestasi dan mengutamakan semangat kekeluargaan.

Kehadiran Arul selaku pengendali baharu disambut baik oleh kesemua pemain kebangsaan. Rata-rata kelihatan lebih santai dan selesa dengan Arul tidak melepaskan peluang untuk berbual secara individu dengan pemain.

Bagi Arul tiada istilah memilih bulu walaupun telah mengendali kelab UniKL selama 9 tahun sebelum menerima jawatan selaku ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan.

“Keutamaan saya adalah untuk pasukan kebangsaan dan bukan lagi UniKL dan itu adalah fakta.UniKL adalah sejarah bagi saya.

Saya dah mula pakai topi MHC dan fokus serta sasaran saya adalah pemain yang bakal terpilih ada dikalangan pemain yang cemerlang dari segi prestasi”, ujar Arul.

Tempuh masa pendek yang dimiliki Arul sebelum pemain turun pada kempen Piala Razak akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengumpul data pemain-pemain sedia ada.

Beberapa aksi persahabatan dalaman turut diatur bagi menilai prestasi semasa pemain sebelum program latihan baharu dapat dibentuk.

Fokus utama kini mahu mewujudkan semangat kekeluargaan di kalangan pemain dalam dan luar padang.

Dengan ketiadaan kejohanan pada tahun ini skuad negara bakal diuji dengan kejohanan Trofi Juara Juara Asia (ACT) yang dijadualkan pada Mac tahun depan diikuti dengan kempen Piala Sultan Azlan Shah sebelum beraksi dalam kejohanan Hoki Piala Asia antara September dan Disember 2021 yang menawarkan tiket automatik ke Piala Dunia 2023.