Home / Bola Sepak / Analisa Piala Malaysia 2015 oleh Hisyam Rahman

Analisa Piala Malaysia 2015 oleh Hisyam Rahman

Pemain Selangor, Mohd Nazmi Faiz meraikan kejayaan Selangor menjulang Piala Malaysia. Gambar oleh Azhari Yusop

Pemain Selangor, Mohd Nazmi Faiz meraikan kejayaan Selangor menjulang Piala Malaysia. Gambar oleh Azhari Yusop

OLEH : HISYAM RAHMAN

Piala Malaysia telahpun melabuhkan tirainya dua hari yang lalu.  Namun kejayaan pasukan Selangor yang 10 tahun tidak memenanginya masih segar dalam ingatan.  Perlawanan malam itu walaupun berjalan dalam keadaan padang yang basah, namun kedua-dua pasukan masih menyajikan permainan yang menarik.  Syabas untuk pasukan Selangor dan Kedah.  Di sebalik kemenangan Selangor, ada banyak sebenarnya faktor lain yang boleh diberikan perhatian dan memberikan satu harapan untuk bolasepak Malaysia khususnya.

SHAH ALAM, 6 Disember 2015 : Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme diasak pemain Selangor dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2015 antara pasukan Selangor bertemu pasukan Pahang di Stadium Shah Alam, Selangor. Gambar oleh Radi Mohamad / Sukan Malaysia

Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme diasak pemain Selangor dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2015 antara pasukan Selangor bertemu pasukan Pahang di Stadium Shah Alam, Selangor. Gambar oleh Radi Mohamad 

Dari segi pemain di atas padang kita lihat bagaimana pemain tempatan dapat menyaingi pemain import dan menunjukkan kualiti yang tidak jauh bezanya.  Nazmi Faiz sebagai contoh, pemain yang telah melalui banyak proses pematangan walaupun dalam umur yang masih muda, baik dari segi permainanan mahupun karekter di atas padang.  Pada malam itu Nazmi bermain baik seperti seorang Jeneral, beliau menentukan hala tuju  perlawanan, mengawal permainan dengan baik, bila perlu menyerang, bila perlu mengendurkan kelajuan permainan, beliau juga naik membantu serangan dan turun membantu bahagian pertahanan, sesuatu yang jarang dilakukan oleh Sandro dan Lirindo dalam pasukan Kedah. Hazwan Bakiri pula, dengan hanya mempunyai 3 percubaan ke arah pintu gol dua darinya menghasilkan gol bermakna 66.6% pada setiap cubaannya berjaya disempurnakannya.  Sandro juga mendapat satu peluang yang pasti menghasilkan gol namun ianya berjaya di selamatkan oleh Norazlan Razali.  Dalam situasi pada masa itu kita tidak boleh menyalahkan Sandro kerana dia gagal menjaringkan gol, tapi seharusnya kredit harus diberikan kepada penjaga gol Selangor atas faktor kecemerlangan beliau yang cepat menutup ruang dan berjaya menampan bola cubaan Sandro, sememangnya dalam situasi 1 lawan 1 Norazlan sukar ditewaskan, lebih-lebih lagi beliau berada pada prestasi terbaik tepat pada waktunya.

Pemain Kedah mengasak pemain pasukan Felda United. Gambar oleh Azhari Yusop

Pemain Kedah mengasak pemain pasukan Felda United. Gambar oleh Azhari Yusop

Pemain tempatan Kedah juga bermain baik pada malam itu, Badrol Bakhtiar, pada separuh masa pertama beliau di asak dan di kawal ketat oleh pertahan kiri Selangor, Raimi.  Tetapi apabila beliau diletakkan untuk bermain di bahagian tengah pada separuh masa kedua, serangan Kedah tampak lebih berbahaya dan hantaran-hantaran beliau kepada Chidi banyak mengucar-ngacirkan pertahanan Selangor pada masa itu.  Ramai lagi pemain yang memberikan persembahan baik pada malam itu seperti Azrif Nasrulhaq bek kanan Selangor dan Syazwan pemain sayap kiri Kedah yang bermain dengan baik juga malam itu.

Jika dilihat pada corak permainan kedua-dua pasukan pula, Selangor bermain kemas sebagai satu pasukan.  Pemain-pemain Selangor semuanya bergerak dalam satu unit dan berdisiplin naik ke atas dan turun ke bawah membantu bahagian pertahanan.  Pasukan Selangor juga bermain dengan menekan dan menutup ruang pemain kedah setiap kali mereka memegang bola.  Keadaan itu membuatkan pemain Kedah kurang keyakinan untuk memegang bola begitu lama.  Ini yang membezakan antara kedua-dua pasukan itu.

SHAH ALAM, 6 Disember 2015 : Pemain Pahang, Hafiz Kamal diasak pemain Selangor dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2015 antara pasukan Selangor bertemu pasukan Pahang di Stadium Shah Alam, Selangor. Gambar oleh Azhari Yusop / Sukan Malaysia

Pemain Pahang, Hafiz Kamal diasak pemain Selangor dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2015 antara pasukan Selangor bertemu pasukan Pahang di Stadium Shah Alam, Selangor. Gambar oleh Azhari Yusop

Kedah sedikit sebanyak terlalu bergantung kepada kemahiran individu dan tidak banyak sokongan diberikan kepada Chidi dan Sandro apabila mereka menyerang.  Pertahanan Kedah juga agak longgar,  apabila Selangor yang kerap melakukan serangan balas ke kawasan Kedah, mereka akan kucar kacir dan jarang kita lihat Syazwan, Lirindo, Badrol turun membantu pertahanan.   Dua jaringan gol Selangor terhasil atas serangan balas yang pantas, kemas dan larian dari bawah yang cepat untuk membantu serangan.

Jurulatih kedua-dua pasukan telah melakukan dan menganalisa perlawanan dengan baik.  Tan Cheng Hoe, cepat menghidu kelemahan pasukannya dan menukar posisi pemain dan menukar beberapa pemain yang dilihat tidak memberi sumbangan dalam perlawanan.  Beliau meletakkan Badrol Bakhtiar ke bahagian tengah dan jentera tengah Kedah mula hidup selepas itu, beliau juga menukar Syazwan Tajudin dengan Farhan Roslan yang dilihat kurang efektif dalam perlawanan.    Bagaimanapun pertukaran itu gagal menghasilkan sebarang impak kepada pasukan Kedah untuk menghasilkan sesuatu.  Mehmet sememangnya seorang jurulatih yang berasal dari pemain pertahanan dan beliau berjaya memberi tunjuk ajar yang berkesan pada pasukan bimbingannya dibantu pula dengan P. Maniam dan Anuar Abu Bakar yang pernah bermain bersama Mehmet satu masa dahulu.

Final_PM2015_16

Apa pun syabas untuk Selangor dan Kedah, kerana menyajikan permainan yang menghiburkan dan berkualiti walaupun dalam keadaan padang yang basah.  Di harap kedua-dua pasukan dapat mengekalkan kualiti ini dan terus menghasilkan ramai pemain muda yang berkualiti bukan sahaja untuk pasukan negeri malah pasukan Negara khususnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*