Home / Bola Sepak / Analisa Pasukan Piala Malaysia 2013 – Kumpulan B

Analisa Pasukan Piala Malaysia 2013 – Kumpulan B

Pasukan JDT 2013 © Mohd Salme
JOHOR DARUL TAKZIM (JDT)
Jurulatih : Azmi Mohamed
Pemain Bintang : Mohd Aidil Zafuan Bin Abdul Radzak
Tampil di pentas akhir Piala FA musim ini cukup menceritakan kemampuan pasukan dari selatan tanahair. Setelah kecewa untuk menakluki Piala FA dan Liga Super, saingan Piala Malaysia adalah pentas terbaik dan terakhir buat JDT membuktikan pelaburan besar pada awal musim ini berbaloi. Diletakkan sekumpulan dengan pasukan berstatus kelab yang lain, JDT tampil selaku calon utama untuk mara ke saingan suku akhir walaupun prestasi Safiq Rahim dan Safee Sali masih belum menjadi.
Tenaga jurulatih yang baru pasti membuatkan permainan pasukan JDT menjadi tanda-tanya. Ini bakal member sedikit kelebihan kerana sudah pasti JDT akan mengejutkan saingan-saingan pada peringkat kumpulan ini. Prestasi cemerlang Mohd Aidil Zafuan dan Norshahrul ketika perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini pasti memberikan harapan untuk penyokong-penyokong JDT kembali ke Stadium Shah Alam bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 nanti.
Patrick Ronaldinho meraikan gol PKNS © Radi Mohamad
PKNS FC
Jurulatih: Abd Rahman Ibrahim
Pemain Bintang: Mohd Nazmi Faiz Mansor
Pasukan PKNS FC seringkali melakukan kejutan kepada pasukan-pasukan besar ketika saingan Liga Super 2013. Kembalinya Nizab Ayob dan Nazmi Faiz Mansor daripada tugasan kebangsaan bakal menjadi elemen tambahan dalam memperkasakan cabaran PKNS FC kali ini. Pasukan Semut Merah ini dilihat bakal mengisi salah satu slot ke peringkat suku akhir sekiranya tonggak utama mereka seperti Patrick Ronaldinho mampu beraksi cemerlang dalam merobek gawang lawan.
Pasukan T-Team 2013 @ Mohd Shah

 

T TEAM
Jurulatih: Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor.
Pemain Bintang: Mohd Mazuki Yusof
Pasukan T Team yang terselamat daripada terhumban ke saingan liga Premier musim depan pasti menaruh harapan untuk sekurang kurangnya mengulangi pencapaian terbaik mereka mara ke peringkat separuh akhir pada tahun 2011. Namun sebelum itu pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu ini perlu melepasi halangan peringkat kumpulan. Gandingan baru jurulatih Che Ku Marzuki dan Azlan Johar diharap mampu membawa kelab ini ke satu tahap yang membanggakan. Dijangka sukar melepasi peringkat kumpulan seandainya tiada peningkatan ketara dalam mutu persembahan mereka.
Amar Rohidan dari Pasukan Felda FC © Azhari Yusop
FELDA UNITED
Jurulatih: Azuan Zain
Pemain Bintang: Mohd Helmi Eliza Elias
Penukaran jurulatih pada penghujung saingan Liga tidak mampu menyelamatkan Felda United daripada jatuh ke kancah liga Premier. Namun Felda masih mampu melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia 2013 melalui kemenangan “play off”. Namun Felda United dijangka tidak akan melakukan sebarang kejutan dan perlu menampilkan persembahan paling mantap sekiranya memasang impian untuk meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya. Melepasi peringkat kumpulan sudah cukup bermakna buat pasukan kelab ini memulihkan keyakinan dan maruah yang tercalar.

Disediakan oleh : Md Duang © Sukan Malaysia Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*