Home / Bola Sepak / Ampersand Sports dilantik sebagai agensi hak penajaan Liga Malaysia

Ampersand Sports dilantik sebagai agensi hak penajaan Liga Malaysia

JOHOR BAHRU, 28 November 2017 – Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah menandatangani perjanjian dengan Ampersand Sports Sdn Bhd untuk melantik syarikat tersebut sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan pertandingan Liga Malaysia.

Perjanjian ini selama lima (5) tahun bermula tahun 2018 merangkumi Liga Super, 100Plus Liga Premier, TM Piala Malaysia dan juga Piala FA.

Majlis perjanjian ini disempurnakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Pengerusi FMLLP dan Tan Sri Vincent Lee selaku Pengerusi Ampersand Sports di Johor Bahru, hari ini.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pengerusi FMLLP berkata:

“Ampersand Sports membawa kepakaran perhubungan awam, kreatif dan komunikasi yang merupakan sebahagian daripada pelan tindakan (blueprint) untuk membawa bola sepak Malaysia ke peringkat seterusnya. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan yang dihormati seperti Tan Sri Vincent Lee dalam meningkatkan nilai komersil liga.”

Tan Sri Vincent Lee, pengasas konglomerat pengiklanan Foetus Group pula berkata :

“Satu kebanggaan buat saya untuk bekerja dengan Tunku Presiden, individu yang mempunyai visi serta berfikiran jauh yang akan memberi manfaat besar kepada bola sepak, malah kepada sukan lain juga. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu pembangunan bola sepak tempatan disamping memastikan sokongan di kalangan pengiklan dan penaja. Kami juga komited untuk membawa lebih nilai kepada FMLLP dan peningkatan status bola sepak Malaysia di kalangan para pengiklan. Jenama seharusnya melihat sokongan kepada bola sepak tempatan, memandangkan penontonnya adalah beberapa kali lebih besar daripada Liga Perdana Inggeris.”

Ketua Eksekutif Ampersand Sports, Hasnan Hassan menambah:

“Kami akan mewujudkan peluang baru dan menarik bagi membolehkan kumpulan pengikut bola sepak tempatan yang begitu besar mengenal dan mendekati pelbagai jenama di pasaran. Penyokong bola sepak adalah satu kumpulan yang bersemangat penuh keghairahan. Sokongan akan dibalas terhadap mana mana jenama yang menyokong permainan mereka. Sebagai rakan rapat kepada FMLLP, kami yakin dapat membantu meningkatkan hasil yang dijana oleh pelbagai pertandingan bola sepak tempatan.”

Hasnan berpengalaman luas di bidang pemasaran pengiklanan dan penajaan di pelbagai pertandingan termasuklah Piala Dunia FIFA. Kepakaran pemasaran beliau di bidang ini diasah ketika berkhidmat dengan Astro dan ESPN sebelum menubuhkan khidmat perundingan pemasaran dan media.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingan. Turut hadir bagi pihak Ampersand Sports ialah Ketua Pegawai Eksekutif Trapper Media, K Sivanathan dan Sandeep Joseph, Ketua Pegawai Eksekutif Ampersand Advisory yang merupakan sebuah syarikat perunding media dan data.

 

Dikeluarkan oleh Unit Media Football Malaysia